Pas bermusim hadiah ‘khas’ buat penyokong bola sepak

185

Setiap tahun kelab bola sepak akan mengeluarkan pas bermusim khas buat penyokong yang sentiasa hadir ke stadium dan memberi sokongan kepada pasukan bola sepak kesayangan mereka.

Pas bermusim juga merupakan hadiah khas buat para penyokong kerana mempunyai pelbagai kemudahan dan kelebihan yang diberikan oleh kelab.


Terdahulu, kelab Penang FC telah mengeluarkan tiga pas bermusim iaitu Taring Gold yang berharga RM799 dan Taring Silver yang berharga RM599 dan Taring Bronze berharga RM250.

Manakala kelab Negeri Sembilan FC tidak melepaskan peluang dengan mengeluarkan pas bermusim khas untuk kanak-kanak seperti Gold Kids (RM169) dan Red Kids (RM89).

Manakala untuk golongan dewasa dengan empat pakej yang ditawarkan iaitu NSFC Gold A (RM2,000), Gold B (RM1,000), Gold C (RM329) dan Red (RM159) yang boleh didapati secara dalam talian melalui laman web rasmi kelab.

Dengan pakej yang ditawarkan dan harga yang berpatutan, pastinya penyokong boleh membuat pilihan sesuai dengan bajet yang sesuai kerana tidak ramai penyokong yang mampu membeli pas bermusim sekiranya harga yang ditawarkan adalah mahal.

Setiap pakej hadir dengan tawaran menarik seperti laluan khas untuk masuk ke stadium, mempunyai tempat duduk di Grandstand dan diskaun serta baucer untuk barangan yang terpilih.

Malah pengguna pas bermusim pastinya diberikan keutamaan untuk membeli tiket perlawanan bola sepak sekiranya pasukan berjaya masuk ke perlawanan akhir Piala Malaysia atau Piala FA.

Ia juga boleh menjana pendapatan buat kelab selain kutipan tiket di stadium dan jualan cenderahati kelab untuk memastikan kelangsungan agar setiap operasi dapat berjalan dengan lancar tanpa sebarang isu kewangan.

Pas bermusim juga dianggap istimewa kerana sesetengah pas bermusim dikeluarkan dengan kuantiti yang terhad dan boleh menjadi koleksi buat penyokong bola sepak.

Diharap pembelian pas bermusim dapat memberi manfaat kepada semua penyokong bola sepak yang menjadi tulang belakang untuk pasukan yang bermain di laman sendiri.

Malah, dengan pas bermusim akan memastikan penyokong untuk hadir setiap kali perlawanan berlangsung dan memberi sokongan untuk pemain yang berjuang di atas padang untuk meraih kemenangan menentang pasukan lawan.