Bangkit dari rehat panjang, Safuwan Baharudin sah menjadi milik Negeri Sembilan FC

483

Teka-teki mengenai pemain import kelima pasukan Negeri Sembilan FC akhirnya terjawab selepas pemain kebangsaan Singapura, Safuwan Baharudin akhir sah menyertai pasukan Jang Hobin untuk musim 2023.

Penyokong Negeri Sembilan pada mulanya dilihat mungkin akan menggunakan pemain tempatan untuk musim ini apabila tiada perkembangan mengenai status pemain import yang kekal atau baru yang akan dibawa masuk.


Namun mereka akhirnya mengumumkan bahawa akan mengekalkan Herold Mark Goulon dan meminjam pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Levy Madinda.

Tidak lama kemudian, mereka mengumumkan lagi tiga pemain import untuk melengkapkan lima pemain pada musim ini dengan kemasukan Anselmo Arruda ‘Casagrande’ Da Silva yang bermain di posisi penyerang, Vinicius Lionel Ferreira Da Silva yang bermain di posisi bahagian tengah bertahan dan akhir sekali Safuwan Baharudin yang bermain di posisi pertahanan.

Pemain yang berusia 32 tahun itu akan mengisi slot kuota Asean dan bermain di posisi pertahanan dan boleh digadingkan bersama Herold Goulon yang bermain di posisi yang sama.

Khidmat Safuwan juga ditagih untuk memastikan kekebalan benteng pertahanan akan terus kukuh selepas Negeri Sembilan menjadi lima pasukan terbaik dan merupakan antara pasukan yang bolos paling sedikit dengan 26 gol bolos pada musim lalu.

Beliau yang merupakan produk dari pasukan Young Lions dinaikkan pangkat untuk menyertai pasukan LionsXII pada musim 2012.

Beliau pernah merasai nikmat menjulang Liga Super pada musim 2013 bersama pasukan LionsXII dan Piala FA pada musim 2018 bersama pasukan Pahang yang menjadi kenangan paling manisnya sepanjang beraksi di Liga Malaysia.

Selepas itu, beliau merantau ke Australia dan menjadi pemain pinjaman selama tiga bulan bersama Melbourne Victory dan berjaya menjaringkan dua gol dalam enam perlawanan A League.

Selepas tempoh pinjaman tamat, beliau kembali ke pasukan LionsXII dan akhirnya berhijrah ke pasukan PDRM FC pada musim 2016 dan Sri Pahang FC pada musim 2018 seterusnya berkelana ke pasukan Selangor FC pada musim 2020.

Namun episod duka berlaku apabila awal Mei 2022, Safuwan mengalami kecederaan ‘cerebral concussion’ semasa menentang PJ City FC dan berlaku hentakan di kepala selepas bertembung dengan pemain lawan ketika permainan berlangsung.

Malah, selepas insiden tersebut beliau kerap kali mengalami beberapa siri kecederaan dan terpaksa menerima rawatan dan rehat yang panjang ketika bersama pasukan Selangor dan hanya mencatatkan 30 penampilan selepas tiga musim bersama skuad The Red Giants.

Pada musim ini, beliau pasti akan bangkit dan perlu berusaha keras untuk bermain dengan lebih baik seterusya melupakan detik hitam bersama Selangor.

Diharap kemasukan beliau bersama skuad Jang Hobin akan menjadi pengganti terbaik buat Khuzaimi Piee seterusnya memastikan kekebalan pasukan Negeri Sembilan akan terus ampuh pada musim ini.