Sah ke Negeri Sembilan FC untuk musim 2023, mampukah Shahrel Fikri buktikan beliau masih layak sarung jersi Harimau Malaya?

359

Pemain kebangsaan, Shahrel Fikri akhirnya sah berhijrah ke Negeri Sembilan FC dari Selangor FC untuk memperkuatkan pasukan Hoben Jang Hoben dalam saingan Liga Super musim 2023.

Beliau yang lebih dikenali sebgai Eky tahun ini sudah berusia 29 tahun dan posisi utamanya adalah sebagai penyerang, tetapi berkebolehan untuk bermain di sayap kanan dan sayap kiri.


Fleksibiliti beliau bakal memberi lebih banyak variasi untuk pengendali Negeri Sembilan, K. Devan menggunakan dirinya untuk membantu pasukan pada musim ini.

Beliau yang kini berada di dalam keadaan cergas pastinya bersiap sedia untuk mendapatkan lebih banyak minit permainan bersama pasukan Negeri Sembilan selepas kecederaan dan prestasi yang tidak menentu menghantui beliau bersama pasukan Selangor sebelum ini.

Beliau merupakan produk akademi yang bermain bersama pasukan belia Perak pada tahun 2013 dan menjadi salah satu tonggak utama ketika bermain bersama pasukan Perbadanan kemajuan Negeri Perak FC (PKNP).

Beliau satu ketika dulu pernah bersama pasukan Nakhon Ratchasima Mazda FC sebagai pemain pinjaman dan sekembalinya beliau ke pasukan Perak, prestasi beliau terus meningkat dengan menjaringkan 11 gol dalam 31 penampilan bersama The Bos Gaurus dan semakin dikenali oleh peminat dek kerana sentuhan dan ketajaman beliau di hadapan gol.

Kejayaan beliau diteruskan dengan menyarung jersi Harimau Malaya pada tahun 2017 menyaksikan beliau dijadikan sebagai pilihan utama untuk berada di posisi penyerang seterusnya berjaya meledak lima gol dalam 15 penampilan.

Selepas beliau menikmati prestasi yang cemerlang, beliau memilih Selangor FC sebagai destinasi seterusnya dan bermula episod duka beliau.

Penghijrahan beliau bersama pasukan The Red Giants tidak seindah seperti yang beliau harapkan selepas mengalami retak tulang fibula di bahagian kaki yang memaksa beliau terlepas untuk beraksi di dalam kejohanan Piala Malaysia 2021 dan Piala AFF Suzuki kerana berehat panjang.

Sekembalinya beliau bersama pasukan Selangor pada musim 2022, beliau tidak berjaya menunjukkan aksi yang konsisten dan hanya meraih 19 penampilan dimana banyak bermain sebagai pemain gantian dan menjadi pilihan kedua di belakang Herlison Caion.

Untuk musim baharu beliau pastinya akan berusaha lebih kuat untuk beliau mendapat prestasi sebenar bersama Negeri Sembilan, dan berharap mendapat peluang untuk menyarung kembali jersi Harimau Malaya.

Ini kerana ketika ini, terdapat dua penyerang yang dilihat menjadi kegemaran ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon di posisi penyerang tengah iaitu Darren Lok dan Syafiq Ahmad.

Sekiranya beliau menemui rentak sebenar beliau dan menjadi penyerang yang disegani di Negeri Sembilan, tidak mustahil ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon akan memilih beliau untuk beraksi bersama semula bersama pasukan Malaysia.