Sasaran Harini FT jadi juara Liga M3 adalah realistik, utamakan kebajikan pemain supaya tak hilang fokus

296

Ketua jurulatih Hariti FT, P. Maniam melihat sasaran untuk pasukannya menjadi juara Liga M3 adalah realistik kerana melihat kepada komitmen pihak pengurusan yang cukup tinggi.

Ia turut dibuktikan apabila pihak pengurusan sanggup mengeluarkan belanja besar untuk mempersiapkan pasukan termasuk membawa masuk ramai pemain-pemain dari Liga Super.


“Kalau kita tengok pengurusan Harini FT mereka ada hala tuju dan visi untuk bermain Liga Super, oleh sebab itu mereka lantik saya sebagai pengendali baru dan saya bersetuju yang mana saya fikir sasaran untuk jadi juara adalah realistik.

Tapi ia tidak bermakna senang untuk capai sasaran itu sebaliknya kami perlu bermain bersungguh-sungguh dan memberikan satu permainan yang bagus dan juga harus menjaringkan gol,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Tambah bekas pengendali PJ City FC itu lagi, tiga perlawanan pertama adalah sangat penting kerana mereka akan bertemu dengan pasukan pilihan lain iaitu Sarawak United FC, Melaka FC dan PIB FC.

“Ketiga-tiga perlawanan ini akan menjadi kayu pengukur untuk melihat kita berada di tahap mana.”

Beliau juga memberitahu hala tuju kelab yang jelas dengan komitmen yang ditunjukkan oleh pihak pengurusan juga menjadi salah satu faktor mengapa ramai pemain dari Liga Super yang menyertai kelab itu.

Antara nama besar yang akan menyarung jersi Harini FT musim ini adalah penyerang kebangsaan Norshahrul Idlan Talaha, Khyril Muhymeen, N. Thanabalan, Azmeer Yusof dan Hafizul Hakim.

Dalam pada itu, bagi Azidan Sarudin yang sebelum ini menjadi pemain kelab itu kini dilantik menjadi pengurus pasukan berkata selain menjalankan tugasnya menguruskan pasukan, beliau juga akan memastikan kebajikan pemain akan sentiasa terjaga.

Ini kerana menurut Azidan, sekiranya pemain berdepan masalah gaji ia akan menyebabkan mereka hilang fokus sekaligus akan memberi impak besar kepada prestasi pasukan.

“Gaji adalah penting buat setiap pemain, jadi kami utamakan kebajikan supaya pemain tidak hilang fokus.”

Sementara itu, menjelang saingan Liga M3 yang akan membuka tirainya pada hujung minggu ini, Azidan berkata persiapan pasukan kini sudah berada pada tahap 80% dan akan bersedia sepenuhnya sebelum saingan liga bermula.

Harini FT juga sudah mengharungi pra-musim yang yang agak cemerlang apabila enam perlawanan persahabatan yang diharungi mereka menyaksikan mereka berjaya memperoleh empat kemenangan, satu seri dan hanya satu kekalahan.

Azidan juga mengakui bahawa saingan untuk musim ini lebih mencabar namun beliau melihat pasukan Melaka FC dan Sarawak United FC  adalah pencabar terkuat.

Harini FT akan membuka saingan Liga M3 pertama mereka menentang Sarawak United pada 4 Mac ini di Stadium UPM, Serdang.