Negeri Sembilan FC perlu tampil perjelas mengenai isu pas bermusim yang dibangkitkan penyokong

1,079

Semakin rancak saingan Liga Super ketika ini, semakin panas juga isu-isu yang berlaku berkaitan kelab bola sepak tempatan dan kali ini tumpuan beralih kepada Negeri Sembilan FC berkaitan pas bermusim kelab itu.

Bagi segelintir peminat bola sepak, membeli pas bermusim adalah ‘satu keperluan’ kerana ia bukan sahaja dapat memudahkan mereka menyaksikan perlawanan tetapi juga untuk mendapat kelebihan tertentu melaluinya.


Saingan Liga Super musim ini memperlihatkan komitmen luar biasa oleh penyokong bola sepak tempatan dengan mereka sanggup berhabis wang ringgit untuk kepuasan termasuklah membeli pas bermusim dengan harga ratusan ringgit hingga ribuan ringgit.

Disebalik kerancakan liga, timbul pula satu isu apabila salah seorang penyokong Negeri Sembilan yang mendakwa berdepan masalah pas bermusim pada musim lalu yang sehingga kini masih belum selesai.

Melalui komen yang ditulisnya di media sosial Facebook, dia yang dikenali sebagai Amin Ramly mendakwa pas bermusim yang dibelinya untuk skuad Hobin Jang Hobin itu masih tidak diperolehi sejak tahun 2022.

Dia yang kesal dengan perkara itu berkata, jawapan untuk semak semula yang diberikan kelab itu hanya sekadar omong kosong sehingga membuatkan dirinya ‘serik’ untuk membeli pas bermusim kelab itu untuk musim ini.

Komen itu bagaimanapun dibalas oleh admin media sosial kelab itu yang cuba menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penyokong tersebut dengan memberi pas bermusim untuk musim ini secara percuma.

Walaupun mungkin ada segelintir pihak yang melihat perkara ini hanyalah masalah kecil, namun ia sebenarnya satu kerugian buat pihak kelab itu sendiri kerana bukan sahaja kehilangan seorang penyokong tetapi juga kehilangan pendapatan kelab.

Oleh itu, diharap pihak pengurusan kelab dapat menyelesaikan permasalahan ini bagi mengelak masalah lebih besar pula timbul selepas ini.

Mungkin mereka boleh mengeluarkan satu kenyataan rasmi berkaitan isu ini supaya jika ada penyokong lain berdepan masalah sama dapat diselesaikan.

Ingat bola sepak ‘nothing’ tanpa penyokong, dan penyokong ‘nothing’ tanpa kelab bola sepak.