K. Devan perlu ‘basuh’ pemain Negeri Sembilan FC ikut cara Ten Hag

643

Dunia bola sepak dikejutkan dengan kekalahan paling teruk dalam sejarah kelab gergasi Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United yang ‘lunyai’ di tangan Liverpool dengan keputusan 7-0 di Stadium Anfield, semalam.

Pada hari yang sama, peminat bola sepak tempatan turut dikejutkan dengan kekalahan serupa yang menyaksikan Negeri Sembilan FC (NSFC) dibelasah 7-0 oleh juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT)di Stadium Tuanku Abdul Rahman.


Biarpun ia sekadar kebetulan, namun kekalahan anak buah K. Devan itu dilihat tidak boleh dipandang remeh kerana ia membabitkan bolos dalam jumlah jaringan yang cukup besar dan sesuatu perlu dilakukan bagi mengelak perkara sama berulang.

Mungkin K. Devan boleh mengikut jejak langkah pengendali The Red Devils yang dilaporkan memberi hukuman atau ‘membasuh’ pemain-pemainnya apabila tidak membenarkan mereka pulang awal selepas tamat perlawanan sebaliknya kesemua pemain diminta untuk berada di dalam bilik persalinan tanpa bersuara kerana mahu pemain-pemainnya mendengar sorakan penyokong Liverpool meraikan kemenangan besar mereka.

Selain itu, Ten Hag juga memaksa pemain-pemainnya untuk menonton beberapa klip perlawanan untuk membuatkan pemainnya ‘berasa marah dengan aksi mereka’ sekaligus menjadikannya sebagai pengajaran.

Tindakan dilakukan ini dilihat sebagai reserve psychology bagi memastikan pemain-pemainnya sentiasa dahagakan kejayaan dan tidak berasa terlalu selesa.

Pendekatan yang dilakukan oleh Ten Hag itu mungkin boleh diguna pakai oleh pengendali Negeri Sembilan kerana mereka turut mengalami kekalahan yang cukup perit, dan lebih memalukan lagi mereka tewas di tempat sendiri.

Melihat kepada aksi pemain-pemain Negeri Sembilan, ramai yang terlalu kecewa kerana bukan sahaja gagal bermain dengan baik tetapi juga kerap melakukan kesilapan-kesilapan mudah sehingga dihukum dengan jaringan demi jaringan.

Tidak dinafikan skuad Jang Hobin turun beraksi sedikit tempang apabila beberapa tonggak utama tidak dapat diturunkan dek masalah kecederaan termasuk pemain yang dipinjam dari JDT, tetapi untuk bermain dengan begitu teruk telah mencetuskan kemarahan penyokong.

Antara pemain yang boleh dipuji kerana mempamerkan aksi terbaik adalah penjaga gol mereka iaitu Sikh Izhan yang terpaksa bekerja keras menyelamatkan deretan percubaan daripada pemain JDT dek barisan pertahanan yang ‘barai’ dan tidak mampu untuk mengekang asakan bertali arus pemain lawan.

Contoh terbaik yang boleh diikut oleh pemain Negeri Sembilan adalah mempunyai mentaliti kuat seperti pemain pasukan PJ City FC. Walaupun pasukan itu sudah tidak lagi beraksi di Liga Super, namun mereka adalah pasukan ‘kuda hitam’ yang sering mengejutkan pasukan-pasukan besar seperti Terengganu FC, Kedah Darul Aman FC dan juga JDT sendiri yang pernah tewas di tangan mereka.

Lebih hebat lagi, mereka berjaya mencapai kemenangan itu tanpa menggunakan pemain import langsung kerana yakin dengan kemampuan pemain tempatan.

Ya, perlawanan sudah tamat dan ‘damage’ sudah berlaku. Setiap pemain perlu cepat move on dan bangkit untuk mempamerkan aksi terbaik untuk perlawanan akan datang kerana saingan liga masih lagi panjang.