Ubi Terengganu FC terus bersinar dalam kancah Piala MFL

322

Perkembangan pemain-pemain muda Terengganu FC II dilihat semakin memperlihatkan prestasi yang cukup cemerlang dalam saingan Piala MFL dalam Kumpulan A yang menyaksikan mereka terus mengekalkan rekod bersih 100% kemenangan selepas lima perlawanan.

Mereka dilihat mempunyai persefahaman yang baik di atas padang dengan corak permainan yang tersusun apabila berjaya menjaringkan sebanyak lapan gol dan hanya bolos satu gol sahaja.


Pemain-pemain muda ini telah dibentuk sejak saingan musim lepas lagi dengan penambahan beberapa muka baru yang turut memberikan impak yang positif kepada pasukan tersebut dengan rata-rata mereka adalah berumur lingkungan 18 hingga 23 tahun.

Terdapat juga beberapa pemain tumpuan yang boleh diberikan perhatian dalam skuad muda ini seperti Ubaidullah Shamsul dan Muslihudi Atiq yang merupakan pemain utama dan sering diletakkan dalam kesebelasan utama.

Ubaidullah dan Atiq juga turut tersenarai dalam senarai akhir skuad Harimau Malaya B-23 yang terlibat dalam kejohanan Piala Merlion 2023 di Singapura baru-baru ini yang menyaksikan mereka berjaya menjadi juara buat pertama kali selepas 40 tahun.

Skuad Penyu juga sering mengetengahkan pemain-pemain muda mereka dalam saingan Liga Super bagi memberi lebih banyak peluang dan pendedahan kepada mereka untuk bermain di peringkat yang tertinggi.

Pemain muda seperti Rahadiazli Rahalim, Azam Azmi, dan Syafik Ismail yang sering diturunkan dalam skuad utama Terengganu turut dilihat sebagai prospek muda terbaik yang telah dihasilkan oleh skuad penyu tersebut.

Dalam kecermelangan pemain-pemain muda ini pasti ada tulang belakang yang membantu dan memainkan peranan bagi memastikan mereka sentiasa dalam tahap prestasi yang terbaik.

Sudah pasti barisan kejurulatihan yang diketuai oleh Hairuddin Omar atau dikenali sebagai Hai-O telah memberikan impak terhadap prestasi keseluruhan anak buahnya.

Hai-O yang berpengalaman luas dalam kancah bola sepak Malaysia pasti mempunyai perancangannya tersendiri dalam membina skuad muda yang mantap.

Baru-baru ini skuad bimbingannya telah mencatatkan kemenangan ke lima berturut-turut dalam liga ke atas Sabah FC dengan jaringan tunggal Nur Azfar Fikri pada minit ke-60.

Kemenangan tersebut telah meletakkan mereka terus kekal di tangga teratas dalam saingan Kumpulan A Piala MFL.