Kita dah buat persediaan cukup untuk Piala Asia 2007, tapi ‘level’ dengan pasukan lain jauh – Azizon Kadir

1,638

Kejohanan Piala Asia 2007 adalah antara memori yang buruk yang terpahat dalam sejarah bola sepak negara satu ketika dahulu.

Pada kejohanan yang menyaksikan Malaysia layak atas tiket tuan rumah itu, Harimau Malaya tewas semua perlawanan di peringkat kumpulan dan menjadi satu-satunya pasukan yang gagal mendapatkan sebarang mata.


Bekas penjaga gol kebangsaan, Azizon Abdul Kadir berkongsi pengalaman beliau bermain pada kejohanan itu yang menyaksikan beliau bolos 12 gol sepanjang kejohanan.

Katanya, Malaysia telah melakukan persiapan yang cukup untuk bermain di kejohanan itu namun segala-galanya berbeza apabila bermain dengan lawan yang ternyata lebih baik.

“Dari segi persiapan memang cukup, tekanan itu ada dan ketika itu macam-macam spekulasi daripada luar tetapi kami hanya fokus terhadap pasukan sahaja.

Kami memang tak jangka cara permainan setiap pasukan ketika peringkat kumpulan masa itu, kita sedar ranking kita lebih bawah daripada mereka dan ada yang sudah tahap Piala Dunia, bukan nak kata kita tak bagus cuma berpijak di bumi yang nyata,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Azizon berkata, beliau faham kehadiran penyokong yang semakin sedikit selepas Malaysia dibelasah China 5-1 pada perlawanan pertama.

Pada perlawanan pertama, kehadiran rasmi di stadium adalah seramai 21,155 orang, manakala pada perlawanan kedua (tewas 5-0 kepada Uzbekistan) dan ketiga (tewas 2-0 kepada Iran) menunjukkan penurunan mendadak, masing-masing 7,137 dan 4,520 orang.

“Selepas perlawanan pertama memang stadium dah tak penuh, selepas kena 5-0 dengan Uzbekistan pun sama, kita faham perasaan penyokong ketika itu.

Ketika itu pemain semua pun sangat kecewa, nak balik hotel pun rasa malas, dengan harapan daripada peminat nak tengok Malaysia maju masa itu tetapi kami tak berdaya.”

Tambahnya, para pemain juga terpaksa lali dengan kecaman dari pelbagai pihak atas persembahan hambar negara pada kejohanan itu.

Azizon berharap Malaysia akan melakukan lebih baik lagi pada edisi yang akan berlangsung di Qatar pada Januari tahun depan.

Beliau melihat Harimau Malaya ketika ini sudah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan di bawah barisan kejurulatihan yang bagus.

Tambahnya, ini adalah masa terbaik untuk Malaysia mara lebih jauh pada kejohanan itu dengan barisan pemain muda yang berbakat.