Kepercayaan Negeri Sembilan FC dan E. Elavarasan bantu saya tingkatkan prestasi – Sikh Izhan

191

Penjaga gol pasukan B-22 kebangsaan, Sikh Izhan menyifatkan kepercayaan yang diberi oleh barisan kejurulatihan Negeri Sembilan FC dan ketua jurulatih B-22 negara, E. Elavarasan membantu beliau meningkatkan prestasinya.

Beliau mengakui banyak pengorbanan yang terpaksa dilakukan olehnya untuk berada di tahap sekarang.


“Saya rasa tak banyak benda yang saya nak buktikan cuma saya perlu bermain dalam Liga Super dan kepercayaan barisan kejurulatihan Negeri Sembilan dan Elavarasan membantu saya tingkatkan prestasi sendiri.

Ini bukan perjalanan yang mudah, banyak pengorbanan yang perlu dilakukan, raya pun macam tak raya tetapi ini adalah lumrah bola sepak dan saya yang pilih jalan ini, jadi saya bersyukur dengan apa yang saya ada sekarang,”

katanya.

Sikh bersyukur terpilih untuk mewakili Malaysia ke Sukan SEA 2023 dan berharap kejohanan itu akan menjadi langkah kanan untuk kejohanan Piala Asia serta Piala AFF akan datang.

Beliau percaya Malaysia sudah 100 peratus bersedia untuk kejohanan itu dan berharap keputusan positif akan dicatat pada perlawanan pertama menentang Laos esok.

“Kita memang dah 100 peratus bersedia untuk Sukan Sea 2023 jadi kami harap perlawanan pertama akan beri satu impak positif kepada semua pemain.

Saya rasa dalam pasukan ini hubungan itu amat rapat dan semangat berpasukan memang baik, semuanya saling memahami termasuklah barisan kejurulatihan.”

Beliau menegaskan bahawa mereka tidak boleh memandang rendah mana-mana pasukan walaupun Vietnam dan Thailand dianggap sebagai lawan yang paling mencabar.

Malaysia akan menentang Laos pada 3 Mei, kemudian Thailand (6 Mei), Vietnam (8 Mei) dan Singapura (11 Mei).