Manjung City FC boleh buat bantahan jika tidak berpuas hati supaya AFL boleh ambil tindakan – Yusoff Mahadi

168

Baru-baru ini perlawanan Liga M3 membabitkan pasukan Imigresen FC dan Manjung City FC menjadi tumpuan apabila mutu pengadilan perlawanan tersebut diktritik hebat oleh ramai.

Perlawanan tersebut menyaksikan Manjung City tewas 2-1, namun ia adalah kekalahan yang sukar diterima oleh kelab berpengkalan di Perak itu dek beberapa keputusan pengadil yang menjadi pertikaian menyebabkan kelab itu menyuarakan ketidak puasan hati mereka di laman Facebook rasmi mereka.


Manjung City dalam kenyataannya berkata; ‘Terima kasih kepada pengadil perlawanan yang begitu jelas menjadi pemain ke 12..13..14 buat Imigresen FC. Manjung City FC dirompak di depan penonton.’

Mengulas mengenai isu tersebut, Pengerusi Amateur Football League (AL), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi berkata sekiranya kelab itu tidak berpuas hati dengan mutu pengadilan, mereka boleh membuat bantahan kepada Jawatankuasa Pengadil.

“Kalau Manjung City tidak berpuas hati mereka perlu membuat bantahan supaya kita dapat melihat apa tindakan yang kita perlu ambil terhadap pengadil itu. Kalau betul tuduhan itu kita akan mengambil tindakan seperti menggantung pengadil tersebut,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Yusoff Mahadi pada masa sama turut tidak menafikan mungkin wujud kelemahan dari pihak pengadil itu sendiri, oleh sebab itu beliau meminta pasukan itu membuat bantahan supaya pihaknya dapat bertindak.

“Kadang-kadang memang ada pasukan tidak berpuas hati apabila mereka kalah dan mungkin juga ada faktor kelemahan pengadil yang mana kita juga tidak nafikan mungkin ada kelemahan pengadil tapi keputusan tetap tidak akan berubah.”

Beliau pada masa sama turut berkata buat masa ini pihaknya masih lagi belum menerima sebarang surat bantahan daripada Manjung City berhubung perkara itu.