Liga Wanita Nasional akan guna format ‘home & away’ tahun ini

605

Selepas mengharungi musim yang positif, Liga Wanita Nasional (LWN) pada musim 2023 akan menyaksikan perubahan format liga akan berlaku.

Perkara itu diumumkan oleh Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi yang memberitahu bahawa mereka akan menukar format pertandingan daripada format Zon kepada liga kebangsaan yang dijalankan dua pusingan ‘home & away’.


“Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM tadi juga kita bersetuju untuk mengubah format LWN kepada dua pusingan dan tidak lagi menggunakan format Zon seperti musim lalu.

Setakat ini sebanyak lapan pasukan telah mengesahkan penyertaan mereka dan kita berharap agar 10 pasukan dalam bersaing pada LWN tahun ini,”

katanya.

Yusoff Mahadi bagaimanapun berkata sekiranya mereka gagal mendapatkan 10 pasukan untuk bertanding, saingan LWN akan diteruskan juga dengan lapan pasukan.

LWN akan membuka tirainya pada bulan Julai dan akan berakhir pada November 2023.

Dalam pada itu, beliau turut mengumumkan harga tiket untuk kejohanan Pestabola Merdeka Tahun Edisi ke-42 yang akan berlangsung pada 14 hingga 17 Oktober depan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Sebanyak tiga jenis tiket akan dijual iaitu untuk kategori Terbuka berharga RM5 untuk kanak-kanak dan RM40 untuk dewasa; Grandstand berharga RM60; manakala Premium pula berharga RM80.

“Jawatankuasa Eksekutif juga bersetuju untuk menawarkan tiket kombo yang akan dijual pada harga RM70 bagi kategori terbuka untuk dua hari perlawanan dengan tempoh penjualan terhad dari 1 Ogos hingga 5 September ini.”

Pembelian tiket boleh dibeli secara dalam talian di www.tickethotline.com.my.

Sebanyak tiga pasukan jemputan sudah pun mengesahkan penyertaan untuk edisi kali ini iaitu Palestin, Lubnan dan India.

Yusoff Mahadi pada masa sama turut memaklumkan bahawa logo Pestabola Merdeka baru akan diperkenalkan bagi menggantikan logo lama pada tahun 2013.