Red Giants Esports perkenal Arcadia sebagai jurulatih baru

281

Selepas mengharungi Mobile Legends: Bang Bang Profesional League Malaysia (MPL MY) musim ke-11 dengan cemerlang apabila berjaya mara ke suku akhir pada musim pertama, Red Giants Esports mahu teruskan momentum kecemerlangan mereka untuk musim ke-12 nanti.

Bagi memastikan mereka terus cemerlang, mereka telah memperkenalkan jurulatih baru iaitu Michael ‘Arcadia’ Bocado bagi menggantikan Ozoraveki.


Arcadia merupakan veteran dari Filipina yang mempunyai pengalaman cukup luas dalam saingan MPL di peringkat antarabangsa.

“Saya sudah lama berada dalam industri e-sports dan mempunyai pengalaman lebih enam tahun sebagai pemain profesional dan tiga tahun sebagai jurulatih. Jadi saya yakin saya adalah individu terbaik untuk melatih pasukan ini ke tahap tertinggi,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Menurut Arcadia, tugas pertamanya selepas mengendalikan pasukan adalah melakukan penilaian terhadap setiap pemain untuk melihat tahap kemampuan mereka sebelum memberi tugasan yang sukar untuk mereka.

Ini kerana beliau berkata, ia sangat penting untuk setiap pemain dapat memperbaiki segala kelemahan mereka supaya dapat memaksimakan kekuatan pasukan.

Dalam pada itu, bagi memastikan Red Giant Esports mampu menjadi pesaing utama MPL, beliau memberi bayangan bahawa mereka akan mengumumkan berita gembira dalam masa terdekat ini.

“Kami sudah mempunyai perancangan yang mana saya tidak boleh dedahkan butiran lanjut lagi buat masa ini, tapi apa yang saya boleh kata adalah nantikan berita besar yang akan diumumkan nanti.”

Sementara itu, beliau mengakui tidak mudah untuk mereka cuba untuk merampas takhta kejuaraan MPL pada musim depan kerana mereka bersedia dari segi mental dan fizikal.

“Untuk kita menang MPL Malaysia, sebagai sebuah pasukan kita perlu faham proses yang perlu kami lalui, cabaran dan prestasi turun naik dan kami perlu bersedia dari segi mental dan fizikal untuk capai sasaran.”