Ada pihak cemburu dengan pencapaian KL City, tuduhan tak bayar gaji dan KWSP adalah fitnah – Khalid Samad

127

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Khalid Samad menyifatkan terdapat pihak yang cemburu akan pencapaian yang dicapai oleh pasukan KL City FC dan menyebarkan berita palsu bagi menjatuhkan kelab itu.

Beliau menganggap, pihak tersebut gusar dengan apa yang mampu dicapai oleh KL City dengan bajet kecil dan menyebarkan berita palsu untuk membuatkan penaja lari.


“kita sedang menghadapi serangan siber kerana ramai yang cemburu dan tidak mahu lihat kita capai kejayaan sebegini dengan bajet yang kecil.

Mereka tahu kita perlukan penaja dan apabila mereka lihat kita pencapaian kita mereka takut penaja akan datang, jadi untuk merosakkan reputasi pasukan mereka hebahkan berita buruk terhadap pasukan, pihak pengurusan dan kedudukan kewangan kita,”

katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab berkenaan dakwaan di media sosial mengenai tunggakan pembayaran gaji dua bulan dan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sehingga dua tahun yang dibangkitkan oleh pihak tertentu.

Beliau bagaimanapun mengakui kadang kala memang ada kelewatan tetapi tidak seperti yang didakwa oleh pihak berkenaan.

“Memang ada kelewatan tetapi tidak seperti yang digambarkan, kita ikut apa yang ditentukan oleh undang-undang, kalau tak jelaskan KWSP selama dua tahun saya dah kena penjara sekarang atau naik mahkamah.

Setakat ini tiada masalah gaji dan KWSP, sehingga kini kita sudah jelaskan bayaran gaji sehingga April dan secara teknikal kita masih dalam tempoh tepat untuk bayar gaji Mei.”

Katanya, walaupun dengan hanya bajet lima juta, KL City bukan sahaja mampu kekal bersaing, tetapi juga mencatatkan pencapaian yang baik sebaris dengan pasukan lain yang mempunyai bajet lebih besar.

Khalid menyeru kepada pihak yang menyebarkan berita palsu tersebut supaya berhenti melakukan perkara itu.