Dion Cools minta pelepasan dari kem Harimau Malaya kerana mahu berkahwin – Hamidin

1,659

Ketiadaan kapten skuad bola sepak negara, Dion Cools dalam panggilan ke kem kebangsaan untuk menghadapi dua perlawanan persahabatan pada bulan ini adalah disebabkan pelepasan untuk berkahwin.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pemain itu telah menghubungi pihaknya dan meminta untuk diberi kelonggaran daripada panggilan kali ini.


“Dion Cools telah memohon daripada Kim Pan-gon (ketua jurulatih) kerana dia akan berkahwin jadi kita beri kelonggaran kepadanya kali ini.

Untuk pemain lain dalam senarai, saya rasa ini adalah antara yang terbaik dan Pan-gon akan lihat lagi pemain-pemain lain,”

katanya.

Hamidin berharap penyokong dapat memberi sokongan beramai-ramai kepada pasukan Harimau Malaya yang akan turun dalam dua perlawanan persahabatan, menentang Solomon Islands (14 Jun) dan Papua New Guinea (20 Jun), di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Beliau percaya Malaysia mampu mencatatkan kemenangan dalam kedua-dua perlawanan itu sekaligus memperbaiki ranking dunia.

Dalam pada itu, Hamidin mengesahkan bahawa skuad kebangsaan akan bermain dua perlawanan di gelanggang lawan pada September ini, satu di China manakala satu lagi akan dimuktamadkan.

Tambahnya, pada bulan Oktober pula, Malaysia akan beraksi dalam kejohanan Pestabola Merdeka yang akan disertai Palestin, India dan Lubnan.

“Pada bulan September kita akan ke China dan satu lagi negara yang akan dimuktamadkan kemudian.

Bulan Oktober pula ada Pestabola Merdeka yang akan disertai oleh tiga pasukan lain iaitu India, Palestin dan Lubnan.”

Hamidin berkata, Malaysia akan beraksi dalam dua perlawanan persahabatan di luar negara sebelum berlepas ke Qatar untuk Piala Asia 2023.