Negeri Sembilan FC jadi ‘hub’ untuk pemain dapat kembali ke prestasi sebenar

414

Negeri Sembilan FC boleh dikatakan sebagai ‘hub’ buat pemain-pemain yang prestasinya merosot dek kecederaan mahu pun sudah tidak mendapat tempat kembali ke prestasi sebenar mereka.

Bukan seorang, tetapi empat pemain yang sebelum ini tidak mendapat tempat atau baru pulih dari kecederaan kembali mencipta nama sehingga berjaya menarik kelab gergasi dan ketua jurulatih pasukan kebangsaan untuk menyarung jersi Harimau Malaya.


Empat pemain yang dimaksudkan adalah Syihan Hazmi, Khuzaimi Piee, Sikh Izhan dan juga Shahrel Fikri.

Syihan Hazmi yang merupakan bekas pemain Kelantan FC dan juga PJ City FC itu sebelum ini pernah dikenakan hukuman gantung selama 20 bulan berikutan gagal dalam ujian doping ketika menyertai Kejohanan B-23 AFC di China pada tahun 2018.

Selepas tamat tempoh penggantungan, beliau bergelut untuk mencari kelab namun akhirnya menyertai PJ City tetapi gagal untuk mendapat tempat.

Tidak bertahan lama, Syihan kemudian berhijrah ke Negeri Sembilan dan bermain di bawah K. Devan beliau telah kembali ke prestasi sebenar dan mengharungi musim yang cukup cemerlang sehingga mendapat panggilan untuk menyertai pasukan kebangsaan.

Kecemerlangan beliau dalam mengawal gawang dari dibolosi telah menyaksikan beliau direkrut oleh kelab gergasi Johor Darul Ta’zim (JDT) di mana beliau kini menjadi penjaga gol utama menggantikan Farizal Marlias.

Seorang lagi penjaga gol muda Sikh Izhan juga kini menjadi sebutan ramai sejak berhijrah ke skuad Jang Hobin pada awal musim lalu secara pinjaman dari Selangor FC.

Sikh Izhan gagal mendapat tempat ketika bersama Selangor kerana perlu bersaing dengan penjaga gol berpengalaman seperti Khairul Azhan dan juga Sam Sommerville membuatkan beliau mengambil keputusan untuk berhijrah bagi mencari minit permainan.

Percaturan beliau membuahkan hasil apabila beliau mempamerkan aksi yang cukup menarik pada perlawanan menentang JDT meskipun beliau bolos tujuh gol.

Aksi tangkas yang dipamerkan oleh beliau telah menyaksikan beliau mendapat panggilan daripada ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan-gon untuk menyarung jersi skuad negara.

Dalam pada itu, pemain yang diberi jolokan sebagai ‘Van Dijk Malaysia’ iaitu Khuzaimi Piee turut merupakan salah seorang pemain yang digilap semula oleh Negeri Sembilan setelah bergelut dengan kecederaan ketika beraksi bersama UiTM FC.

Prestasi cemerlang yang dipamerkan oleh pemain pertahanan itu bersama Negeri Sembilan telah menyaksikan beliau dipanggil untuk sertai skuad negara dan beliau merupakan pemain yang berjaya bantu Malaysia layak ke kejohanan Piala Asia 2023 secara merit selepas lebih 40 tahun.

Aksi cemerlangnya itu turut menyaksikan Khuzaimi atau dikenali sebagai Jimmy menjadi rebutan banyak kelab dan akhirnya beliau menandatangani kontrak bersama kelab gergasi Selangor FC.

Sementara itu, untuk musim 2023 ini nama penyerang Shahrel Fikri kembali menjadi perhatian peminat apabila beliau dilihat seperti sudah mendapat sentuhan berbisa beliau dihadapan pintu gol.

Tidak dapat dinafikan ada segelintir peminat yang merasakan Shahrel atau mesra dengan panggilan Eky sudah tidak mampu lagi untuk kembali ke prestasi sebenar selepas pulih dari kecederaan apabila beliau sering memanaskan bangku simpanan ketika bersama Selangor.

Namun sejak menyertai Negeri Sembilan pada musim ini, beliau kini sudah menjaringkan lima gol dalam 11 perlawanan dan telah dipanggil oleh ketua jurulatih negara untuk menyertai kem latihan pusat Harimau Malaya untuk perlawanan persahabatan antarabangsa baru-baru ini.

Walaupun Negeri Sembilan bukan sebuah kelab yang besar, namun kehebatan barisan kejurulatihan kelab itu berjaya menggilap semula permata-permata negara yang hampir tenggelam dan kini kembali bersinar.