KL City FC pasukan lebih bagus, saya berpuas hati kita berjaya bawa pulang 1 mata – K. Devan

192

Ketua jurulatih Negeri Sembilan FC, K. Devan nyata gembira apabila pasukannya berjaya membawa pulang satu mata dalam saingan Liga Super menentang KL City FC selepas terikat 1-1. Menurut Devan, KL City adalah sebuah pasukan yang lebih baik dari pasukannya, namun semangat dan komitmen tinggi yang dipamerkan oleh anak buahnya membuatkan mereka

“Kalau kita bandingkan pasukan KL City dengan kita, mereka lebih baik dan juga mereka mempunyai banyak pemain berkualiti. Jadi dapat satu mata ia merupakan satu keputusan yang cukup baik untuk kita,”

katanya.

Beliau juga mengakui pasukannya mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol tetapi gagal memanfaatkan peluang yang ada kerana kurang kualiti.


Tambahnya lagi, mereka turun beraksi dengan hanya dua pemain import sahaja dan selebihnya adalah pemain tempatan.

“Mungkin kualiti penyudah tiada kerana kita turun dengan banyak pemain tempatan dan kita ada peluang untuk jaringkan gol tapi tak berjaya jaringkan gol. Itulah kualiti pemain tempatan dan kita juga tidak mempunyai pemain penyerang tulen.

Pemain yang diturunkan dibahagian serangan tadi bukanlah pemain penyerang sebaliknya pemain sayap dan mungkin sebab itu ketajaman mereka di hadapan gol tidak baik.”

Devan bagaimanapun memuji semangat tinggi yang dipamerkan oleh pasukannya yang berjaya mempamerkan aksi yang baik walaupun bermain dalam serba kekurangan.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui penghijrahan Safuwan Baharudin ke Selangor FC memberi impak kepada mereka.

Walaupun kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan dan berhijrah, Devan berkata pihak pengurusan tidak akan membawa masuk pemain baru pada jendela perpindahan kedua ini.

“Yang itu saya tidak dapat berbuat apa-apa sebab pihak pengurusan sudah buat keputusan tiada pemain import dan pemain tempatan baru untuk musim ini.”

Beliau bagaimanapun berkata situasi ini akan memberi ruang dan peluang kepada pemain tempatan untuk memperlihatkan kemampuan mereka apabila mereka akan mendapat peluang dan minit permainan yang banyak.