Hasrat kita mahu lihat bola sepak kudung layak ke Piala Dunia – Hannah Yeoh

99

Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Hannah Yeoh memberitahu pihaknya akan memberi sokongan kepada bola sepak kudung untuk merealisasi impian untuk layak ke Piala Dunia satu hari nanti.

Untuk merealisasikan impian itu, Hannah menyeru lebih ramai golongan kudung yang berminat untuk bermain bola untuk berhubung dengan Persatuan Bola Sepak Kudung Malaysia (PBSKM).


“Saya difahamkan mereka (PBSKM) mempunyai pertubuhan di beberapa negeri yang mana mereka kini berusaha untuk mengembangkan lagi pertubuhan mereka di seluruh Malaysia.

Jadi saya menyeru supaya mana-mana orang kudung atau mempunyai ahli keluarga kudung boleh menghubungi persatuan mereka supaya mereka boleh keluar dan berinteraksi dengan mereka.

Hasrat kita adalah untuk mereka layak ke Piala Dunia, jadi saya berharap dengan sokongan daripada KBS satu hari nanti Malaysia boleh masuk Piala Dunia,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Hannah pada masa sama turut teruja melihat perkembangan bola sepak kudung negara ketika ini apabila kini sudah mempunyai pasukan pelapis iaitu skuad B-23 yang dibentuk baru-baru ini.

Beliau pada masa sama turut memberitahu bahawa pihaknya telah memperuntukkan dana sebanyak RM30,000 bagi kejohanan Artalive Challenge Cup Amputee Football yang dianjurkan oleh Projek Tongkat.

Dalam pada itu, dengan 95% pemain bola sepak kudung pasukan kebangsaan adalah daripada mangsa kemalangan, Hannah mahu sesiapa yang mengalami nasib sama untuk tidak berasa tertekan kerana masih ada kehidupan yang lebih baik.

“Walaupun 95% pemain ini adalah mangsa kemalangan tetapi saya mahu bola sepak dijadikan sebagai motivasi yang mana masih ada kehidupan selepas kudung.

Saya juga berharap KBS boleh terus menyokong usaha mereka untuk kekal sihat dan sebagai platform untuk berinteraksi dengan kawan yang lain.”