Sekarang semua orang tahu siapa Votafogo sebenarnya-Izwan Azida

154

Presiden FC Votafogo, Izwan Azida tidak malu untuk akui yang mereka hanya pasukan futsal ‘tiktok’ dan berpuas hati dengan kehadiran komuniti Votafogo yang turun ke Kompleks Sukan Nasional Panasonic, Shah Alam bagi memberi sokongan kepada kejohanan anjuran mereka semalam.

Dalam kehangatan peminat futsal tempatan menyaksikan saingan futsal profesional, sebuah pasukan futsal amatur, FC Votafogo yang berpeluang menentang sebuah pasukan daripada Australia iaitu Atletico Brisbane yang perlawanannya berkesudahan dengan skor memihak kepada kepada pelawat 8-2.


Menurut Izwan dengan Votafogo beliau ingin membawakan kelainan dalam industri futsal dengan menyebarkan konsep hiburan dalam futsal selain dapat membantu rakan kongsi mereka untuk mempromosikan produk-produk yang ingin dipasarkan.

“Tertubuh tahun 2019 dan matlamat awal kami adalah untuk bermain secara santai terutama untuk event crew sahaja, kami tidak bermain secara bersungguh,”

“Tetapi pada tahun 2021 saya dah mula nampak tidak pernah ada dalam industri lagi iaitu futsal entertainment yang mana kita lebih fokus dalam membantu rakan kongsi kita dari segi membuat content berkaitan dengan futsal,”

jelasnya kepada Harimau Malaya.

Meskipun kalah, objektif mereka untuk membina satu komuniti Votafogo dalam industri futsal sudah tercapai selain berjaya untuk memperkenalkan diri mereka sebagai sebuah pasukan yang menguruskan acara (event team) dan bukan bermain futsal semata-mata.

Izwan sendiri memberitahu bahawa semua pemain-pemain yang bermain dalam perlawanan tersebut kebanyakkannya terdiri daripada kru event yang turut bersama-sama bertungkus-lumus dalam membantu mewujudkan acara tersebut.

“Saya juga ada objektif lain iaitu saya mahu membina satu komuniti Votafogo dan malam ini Impian saya tercapai dengan kehadiran stadium penuh daripada komuniti kami,”

“Harapan saya adalah mahu menunjukkan kepada mereka di luar sana bahawa Votafogo ini bukan sahaja pasukan futsal tetapi kami juga boleh menguruskan acara dan untuk pengetahuan semua pemain-pemain yang bermain di Votafogo sendiri merupakan event team kami,”

FC Votafogo sememangnya mempunyai nama dan kelas tersendiri dalam industri futsal tempatan dan presiden mereka akui pasukan ini mempunyai keistimewaan baik daripada pengurusan mereka sehingga ke pencarian bakat baru dalam pasukan.

“Bagi saya keistimewaan Votafogo ini mungkin daripada segi cara saya membawa pasukan ini yang menggunakkan kaedah emosi selain kami juga bergerak ke kawasan-kawasan terpencil seperti rumah-rumah flat untuk mencari pemain-pemain futsal dan masih banyak yang kami mahu lakukan dalam industri futsal tempatan.”

Meskipun tidak memberikan keputusan yang baik dalam perlawanan antarabangsa mereka kali ini kepada peminat namun dengan kemeriahan acara yang dianjurkan, Izwan akui objektif beliau kini tercapai dengan membawa Votafogo ke peringkat yang lebih tinggi.