Teknik asas futsal pemain Australia Brisbane lebih kemas berbanding Votafogo-Ahmad Fuad

48

Jurulatih FC Votafogo, Ahmad Fuad akui barisan pemain Australia Brisbane mempunyai kemahiran asas yang lebih baik selain gugup dalam diri pemain Votafogo menganggu perancangan mereka sejak awal permainan.

FC Votafogo yang turun menentang Australia Brisbane dalam aksi persahabatan antarabangsa pertama mereka gagal memberi saingan sengit apabila pihak lawan berjaya mendominasi permainan dan mengakhir perlawanan dengan skor 8-2 yang berlangsung di Kompleks Sukan Nasional Panasonic, Shah Alam.


Ahmad Fuad yang ditemubual memberitahu para pemain Votafogo kekurangan pengalaman bermain di peringkat kompetitif selain teknik asas skuad Australia tampak lebih kemas berbanding mereka dari segi corak permainan dan komunikasi di dalam gelanggang.

“Kita kekurangan dari segi teknik individu dan pemain-pemain mereka (Australia Brisbane) bermain dengan teknik asas yang sangat baik dari segi hantaran, pergerakkan, penerimaan dan komunikasi mereka lebih baik daripada kami,”

“Daripada segi pengalaman antara kami dan mereka sangat berbeza, kami cuma berlatih bersama seminggu sekali berbeza dengan mereka lebih lama bersama manakala kami baru lagi bersama dalam sebulan lebih,”

jelasnya kepada Harimau Malaya.

Suasana stadium yang penuh dengan penyokong memberikan semangat buat para pemain dan barisan kejurulatihan FC Votafogo selain Ahmad Fuad sendiri mengakui beliau lebih tersentuh dengan kehadiran dan sokongan yang diberikan oleh para penonton meskipun mereka bukanlah pasukan yang bersaing di liga profesional.

“Selain daripada keputusan permainan malam ini dan pemain, saya lebih gemar sentuh tentang penyokong yang hadir yang mana meskipun Votafogo ini pasukan amatur dan tidak bermain di mana-mana liga tetapi mereka sanggup datang jadi itu yang saya sangat hargai,”

Dalam pada masa yang sama, jurulatih Votafogo itu juga memberitahu mereka akan menyertai lebih banyak kejohanan dan liga-liga amatur di sekitar Selangor selepas ini bagi memberikan pendedahan dan memperbaiki aspek pertahanan yang kelihatan terlalu longgar dalam perlawanan tersebut.

“Kami akan bermain di liga-liga amatur di sekitar Selangor dan kami akan perbaiki segala kesalahan hari ini tertutama daripada segi pertahanan mereka tidak mengikut apa yang dirancangkan tetapi saya akan cuba tambah baik kualiti mereka selepas ini.”