Kerjasama UPSC dengan ISN bukan untuk rawatan kepada atlet sahaja tapi juga untuk cungkil bakat

43

UiTM Private Specialist Centre (UPSC) telah menjalin kerjasama dengan Institut Sukan Negara (ISN) sebagai rakan strategik yang diumumkan pada program ISN Inspire 2023 baru-baru ini.

Wan Nazifah Wan Abdullah selaku Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UPSC berkata, pihaknya tidak hanya terbatas kepada menyediakan perkhidmatan rawatan kepada atlet-atlet sahaja, tetapi juga terlibat dalam proses mencungkil bakat.


“Penglibatan UiTM bersama ISN ke bawah lagi iaitu untuk mencungkil bakat,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Fun Run Merdeka 2023 yang berlangsung di Fakulti Perubatan UiTM, Sungai Buloh.

Menurut Wan Nazifah, penglibatan UiTM dalam sukan tidak hanya akan terbatas di Lembah Klang sahaja, sebaliknya ia akan melibatkan UiTM di seluruh negara.

“Bila kita sudah tandatangani MoU dengan ISN kita buat perancangan untuk bawa UiTM, bukan UiTM Sungai Buloh sahaja tapi semua UiTM kerana di ISN penekanannya kepada sains sukan, banyak buat penyelidikan untuk pembangunan sukan jadi kita akan jadi jambatan kepada ISN dan UiTM.

Memang dalam MoU itu mengatakan keterlibatan UiTM.”

Terdahulu, penglibatan UPSC dalam program ISN Inspire 2023 tidak hanya menjadi tempat rujukan rawatan kepada atlet dan masyarakat di sekitar ISN, tetapi ia adalah step-up care dari apa yang sudah ditawarkan oleh ISN sendiri.

Dalam pada itu, bercerita lanjut mengenai program Fun Run Merdeka 2023, beliau berkata ia adalah bagi memupuk masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat.

“Apa yang kita nak buat adalah selain daripada masyarakat UiTM di Sungai Buloh ini untuk kekal aktif, kita mahu semua bergerak dan kita juga mahu sukan itu menjadi gaya hidup.”

Selain Fun Run Merdeka, UiTM juga sudah mengatur pelbagai aktiviti menarik lain seperti Konvoi Merdeka, Ceramah sempena Merdeka, Pertandingan Menghias Kek, Pertandingan Persembahan Kreatif, Pertandingan Fotografi, Pertandingan Dekorasi Pejabat dan Program Ekspedisi Jelajah Merdeka.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen