Road to 100, JDT dan Kelantan di landasan tepat pecahkan rekod Liga Super

51

Saingan Liga Super akan berehat hampir sebulan bagi memberi laluan kepada jendela perlawanan antarabangsa FIFA pada Oktober ini, di mana Harimau Malaya akan beraksi pada saingan Psetabola Merdeka.

Selepas Johor Darul Ta’zim (JDT) mengesahkan kejuaraan, saingan bagi merebut tempat kedua kini menjadi tumpuan, selain saingan untuk mengelakkan penyingkiran.


Bukan itu saja, bagi dua kelab berbeza di kedudukan atas dan bawah liga iaitu JDT dan Kelantan, kedua-dua pasukan masing-masing sedang dalam landasan untuk mencipta rekod yang berlainan.

Untuk JDT, selepas mencipta pelbagai rekod dalam perjalanan memenangi kejuaran liga kesepuluh berturut-turut, mereka kini sedang dalam usaha untuk mencatat 100 jaringan dalam saingan liga.

Ketika ini, JDT telah mencatatkan 86 gol dan masih berbaki empat perlawanan, dan dijangka tidak mempunyai masalah untuk memecahkan rekod itu kerana tiga daripada empat perlawanan tersebut adalah berdepan lima pasukan tercorot iaitu Kuching City, Kelantan United dan Penang.

JDT hanya perlu mencatatkan purata 3.5 gol dalam setiap baki perlawanan untuk mencecah 100 jaringan dalam liga musim ini.

Bagi Kelantan pula, musim ini pastinya mahu dilupakan dengan kini pasukan itu sudah bolos 87 gol daripada 21 perlawanan.

Kelantan masih perlu berdepan cabaran Sabah, Perak, Kedah Darul Aman, PDRM dan juga Kelantan United (pasukan yang membelasah mereka 11-0 secara agregat pada suku akhir Piala Cabaran baru-baru ini).

Jadi ia adalah tugas yang amat sukar untuk mengelakkan mereka daripada mencatat rekod bolos sebanyak 100 gol dalam semusim.

Dengan rehat yang lama ini, ia ibarat satu rahmat buat Kelantan yang sudah tewas tiga daripada lima perlawanan terakhir liga mereka dengan jumlah bolos sebanyak 26 gol.

Mungkin musim ini bakal terpahat satu sejarah baharu dalam saingan Liga Super di mana sebuah pasukan berjaya memecahkan rekod 100 gol dalam semusim manakala sebuah pasukan lagi mencatatkan 100 bolos dalam semusim.