SNBJ sudah berwajah baharu, mentaliti penyokong juga harus berubah!

91

Lagi dua hari, kejohanan bola sepak bersejarah, Pestabola Merdeka 2023 akan kembali selepas 10 tahun menyepi, dengan edisi kali ini bakal disertai tiga negara iaitu Malaysia, India dan Taijikistan.

Salah satu perkara menarik dan dinanti-nantikan oleh peminat pada edisi kali ini adalah untuk kembali ke ‘rumah’ Harimau Malaya iaitu Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) selepas kerja-kerja penambahbaikan.


Selain daripada rumput di padang yang ditukar kepada Zeon Zoysia, Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) mengatakan bahawa stadium itu turut menjalani penambahbaikan dari segi fasiliti seperti tandas, ruang solat dan lain-lain.

Ia akan menjadikan pengalaman menonton perlawanan bola sepak di SNBJ sesuatu yang baharu buat peminat yang sudah merindui suasana di stadium keramat itu.

Namun, setiap kali berlangsungnya perlawanan bola sepak di SNBJ, pemandangan yang ‘menyakitkan mata’ dapat dilihat pada keesokan harinya, di mana sampah berkeliaran di sekitar perkarangan stadium.

Sudah beberapa kali isu ini dibangkitkan tetapi setiap kali ada saja perlawanan di SNBJ, perkara sama tetap akan berlaku.

Sampai bilakah mentaliti kelas ketiga seperti akan terus dipraktikkan oleh penyokong bola sepak di Malaysia?

Dengan SNBJ kini telah melalui perubahan dan penambahbaikan, sikap dan mentaliti penyokong juga haruslah ikut sama menjadi semakin bagus.

Mungkin ada yang menyuarakan tentang isu tong sampah yang tidak cukup di perkarangan SNBJ menyebabkan sampah ‘terpaksa’ dibuang merata-rata.

Apa salahnya sekiranya semua tong sampah sudah penuh, sampah yang ada dibawa pulang untuk dibuang di rumah.

Diharapkan isu ini tidak akan lagi bangkit di SNBJ yang berwajah baharu ini, kerana apa gunanya jika hanya stadium yang semakin maju tetapi mentaliti masih lagi terkebelakang.