Rezal Zambery harap pemain Kelantan FC terus berjuang hingga ke hujung musim

172

Bekas ketua jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya berharap bekas pemain-pemainnya itu dapat terus berjuang habis-habisan untuk baki saingan Liga Super pada musim ini biarpun berdepan masalah gaji yang parah.

Menurut Rezal, beliau sememangnya kesal dengan apa yang berlaku di Kelantan tetapi pemain perlu cekal dan tidak patah semangat untuk terus bermain yang mana nasib mereka mungkin akan berubah pada musim depan.


“Hubungan saya dengan bekas pemain-pemain saya cukup akrab cuma ketika ini saya hanya boleh menasihati mereka supaya banyak bersabar, beri semangat dan tidak patah semangat.

Pada saya pemain ketika ini perlukan motivasi. Kita tahu memang mereka serba-serbi kekurangan tapi pada saya perjuangan sehingga habis musim perlu diteruskan walau macam mana sekalipun.

Mungkin tahun ini mereka tidak berada dalam keadaan baik, tapi siapa tahu tahun depan mereka dapat tawaran daripada pasukan baru yang lebih baik, jadi bagi saya apa yang penting sekarang ini adalah untuk pemain-pemain tunjukkan kemampuan mereka selagi boleh,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Rezal pada masa sama turut menyeru agar pemain dan jurulatih yang terkesan untuk membuat aduan atau laporan kepada Persatuan Pemain Bola Profesional Malaysia (PFAM) dan Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia (PJBM) mengenai masalah yang dihadapi mereka.

Beliau yakin kedua-dua persatuan tersebut sentiasa terbuka untuk mendengar dan memberi bantuan.

Dalam pada itu, beliau turut mengakui masalah kewangan yang dihadapi oleh beberapa kelab di Liga Super ketika ini berkemungkinan berpunca dari salah tadbir urus dan berbelanja tidak ‘ukur baju di badan sendiri’.

“Ada kemungkinan besarnya salah tadbir urus dan bajet yang diluar jangkaan, sebagai contoh duit masuk yang pada saya belum jelas tapi kita gunakannya sebagai bajet tahunan.

Masuk sekali bajet kutipan tiket yang masih belum pasti. Kemungkinan lain pertukaran-pertukaran pemain di jendela perpindahan kedua yang mana ia tidak dirancang pada awalnya.

Jadi perkara-perkara ini adalah yang menjadi penyumbang kepada ketidakcukupan bajet untuk sesebuah pasukan. Itu padangan peribadi saya.”

Sementara itu, Rezal berkata kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah contoh terbaik dalam pengurusan sesebuah kelab.

“Saya sangat setuju dengan kenyataan JDT mempunyai pengurusan dan pemain yang hampir lengkap. Pada saya mereka adalah contoh terbaik kerana mereka mempunyai segala-galanya.

Kebajikan pemain sangat terjaga dan selepas 10 tahun kita dapat mereka berkembang dengan sangat baik dari semua aspek.”