Pemergian Kevin Mendoza akan buka peluang kepada Azri Ghani untuk jadi penjaga gol utama KL City FC

95

Selepas bekas ketua jurulatih KL City FC, Bojan Hodak berhijrah ke Indonesia untuk mengendalikan kelab Persib Bandung, kini terdapat khabar angin seorang pemain kelab itu akan mengikut jejak langkah sama.

Berdasarkan khabar angin yang dikongsikan oleh T. Avineshwaran di laman X (Twitter), penjaga gol utama KL City iaitu Kevin Ray Mendoza dikatakan akan berhijrah ke kelab yang sama.


Namun perkara itu tidak dapat disahkan lagi buat masa ini, tetapi sekiranya benar ia secara tidak langsung akan membuka ruang dan peluang besar kepada Azri Ghani untuk menjadi penjaga gol utama The City Boys.

Walaupun Azri akan berdepan saingan daripada rakan sepasukan Azim Al-Amin yang mempamerkan prestasi yang cemerlang, namun pengalaman luas penjaga gol berusia 24 tahun itu di peringkat antarabangsa akan berinya kelebihan.

Memegang status sebagai penjaga gol kebangsaan membuktikan bahawa Azri adalah seorang penjaga gol yang cukup berkualiti.

Untuk musim ini, beliau telah diturunkan sebanyak 11 kali dalam saingan Liga Super dan Piala Malaysia dengan mengumpul 990 minit permainan biarpun terpaksa bersaing dengan penjaga gol import Kevin Mendoza.

Dalam pada itu, beliau juga merupakan salah seorang pemain daripada 25 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih pasukan kebangsaan Kim Pan-gon ke kem latihan pusat Harimau Malaya  bagi menghadapi perlawanan pertama dan kedua Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz pada 16 November 2023 dan Chinese Taipei pada 21 November 2023.