Kebanyakan pemain import suka ‘main kasar’?

210

Barisan pemain import semakin lama semakin ramai tersenarai dalam mewakili negara bagi pelbagai jenis sukan hingga ke peringkat antarabangsa.

Kredibiliti serta kecekapan pemain yang dibawa masuk sudah tentu menjadi faktor utama yang melayakkan diri mereka untuk bersaing bersama.


Namun, seringkali kita menyaksikan kejadian tidak diingini melibatkan mereka seperti insiden mengasari pemain tempatan sewaktu perlawanan berlangsung. 

Tidak asing juga ada yang berani memukul pengadil perlawanan dan pemain import yang lain.

Sengaja ataupun tidak, ianya bukanlah suatu perkara yang dibenarkan dalam apa jua kejohanan.

Contoh dapat dilihat melalui seorang pemain import dari Jordan, Yazan Al-Arab yang telah bertindak menentang seorang pengadil sewaktu perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia, Selangor menentang Terengganu FC September lalu. 

Kejadian itu membuktikan Yazan yang tidak mampu mengawal emosi selepas dilayangkan kad merah oleh pengadil, Hasrol Amir sekali gus bertindak secara melulu. 

Tindakan menendang belakang badan pengadil itu telah mengakibatkan kontrak Yazan bersama pasukan Red Giants itu ditamatkan serta-merta selepas seminggu menanti keputusan hukuman.

Mengapa perkara sebegini seringkali berlaku?

Adakah ianya suatu logik jika dikirakan dari segi tubuh badan fizikal pemain import yang lebih tegap dan kuat membuatkan orang tempatan kita mudah dicederakan tanpa sengaja?

Atau mungkinkah dengan niat mereka telahpun ‘aim’ seseorang pemain yang hebat dari awal perlawanan dan memilih untuk melemahkan semangat serta sokongan pihak lawan?

Perkara ini juga amat berkait rapat dengan kawalan emosi pemain.

Apakah persediaan pihak berkuasa bagi mengatasi isu ini dari berulang?

Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) serta Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) disarankan untuk bekerjasama demi menghalang kejadian sebegini terjadi lagi di masa hadapan.

Pihak terbabit seharusnya mengambil tindakan yang tegas kepada pemain yang menunjukkan kelakuan yang tidak baik dan kurang berdisiplin.

Pemain yang dibawa masuk mewakili pasukan-pasukan hebat di Malaysia perlulah sentiasa saling menghormati pihak lawan termasuk pengadil perlawanan.

Gelanggang sukan bukanlah suatu gelanggang WWE yang kurang menitikberatkan aturan dan menjadi satu pusat tarikan penonton yang hadir menyokong.

Peraturan yang ditetapkan haruslah diikuti dan semangat setia kawan perlu wujud antara pemain demi menjaga kesejahteraan sebelum, sewaktu dan selepas pertandingan berlangsung.