Darren Lok tak dapat komen tentang ketiadaan Syafiq Ahmad kerana bukan bidang kuasanya

191

Penyerang kebangsaan, Darren Lok tidak dapat mengulas lanjut mengenai ketiadaan penyerang Syafiq Ahmad dalam skuad kali ini kerana pemilihan pemain berada dalam bidang kuasa ketua jurulatih Kim Pan-gon.

Darren berkata demikian selepas ditanya mengenai ketiadaan Syafiq yang juga merupakan penyerang tulen sepertinya.


“Sudah tentu beliau adalah seorang pemain yang berkualiti tapi perkara itu saya tidak boleh komen kerana ia bukan bidang kuasa saya jadi saya tidak dapat bercakap mengenai pemain individu,”

jawabnya ringkas.

Terdahulu Pan-gon yang mengeluarkan senarai 25 pemain ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bagi menghadapi perlawanan pertama dan kedua Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Republik Kyrgyz pada 16 November 2023 dan Chinese Taipei pada 21 November 2023 telah mendapat pelbagai reaksi daripada kalangan peminat.

Dalam pada itu, Darren turut berkata skuad negara kini sudah lengkap dengan kesemua pemain termasuk Dion Cools dan Junior Eldstal sekaligus mereka dapat membuat persiapan rapi menjelang perlawanan pada Khamis ini.

“Ya mereka sudah tiba semalam kerana mereka ada perlawanan sebelum itu. Tapi kini kami sudah lengkap dan bersedia untuk perlawanan pertama nanti.”

Beliau pada masa sama turut meletak sasaran untuk meneruskan prestasi cemerlang bersama kelabnya Sabah FC bersama skuad negara dan mahu menjaringkan gol untuk bantu pasukan.

“Prestasi saya sangat baik di kelab apabila berjaya jaringkan banyak gol di Piala AFC tapi sekarang saya bersama pasukan kebangsaan, jadi fokus saya sudah tentu untuk menjaringkan gol untuk skuad negara kerana itu adalah tugas utama saya dalam skuad negara.”