Gandingan KPG-Hamidin kekal hingga 2025, terus pacu Harimau Malaya untuk takluk Asia

320

Selepas kejayaan Malaysia melakukan kebangkitan semula untuk menewaskan Kyrgyzstan pada perlawanan pertama Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027, penyokong Harimau Malaya sekali lagi gembira dengan berita mengenai kontrak ketua jurulatih, Kim Pan-gon yang dilaporkan telah dilanjutkan lagi dua tahun sehingga 2025.

Pastinya ramai yang bersetuju dengan keputusan pihak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu, selepas prestasi dan peningkatan menakjubkan yang ditunjukkan oleh skuad kebangsaan sejak pengendali dari Korea Selatan itu mengambil alih.


Ini dilihat mampu menjadi satu tonik tambahan buat Pan-gon, barisan kejurulatihannya serta para pemain yang akan menghadapi saingan Piala Asia 2023 pada Januari depan.

Kredit juga harus diberikan kepada Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin yang boleh dianggap sebagai tulang belakang kepada pasukan kebangsaan, dan sering membantu Pan-gon dalam menjaga pasukan kebangsaan.

Tidak dapat dinafikan bahawa gandingan Hamidin dan Pan-gon telah berjaya membawa perubahan ketara terhadap kualiti pasukan kebangsaan.

Dengan berita gembira kontrak Pan-gon yang dilanjutkan sehingga 2025, penyokong pastinya menjangkakan lebih banyak lagi kejayaan dan peningkatan yang bakal ditunjukkan oleh skuad kebangsaan.

Walaubagaimanapun, ini dilihat hanyalah satu permulaan kepada sesuatu yang lebih besar dengan pelbagai misi yang mahu dilaksanakan dalam tempoh tersebut.

Antaranya adalah misi layak ke Piala Asia 2027, pelan F:30 fasa kedua yang baru dilancarkan baru-baru ini, sasaran naik ke ranking 100 teratas FIFA dan lain-lain lagi.

Pan-gon telah menunjukkan mengapa kontrak beliau layak disambung sejak diperkenalkan sebagai ketua jurulatih Harimau Malaya pada Februari 2022.

Hamidin juga telah berjaya memimpin FAM dengan baik, dan secara langsung memberi kesan positif kepada skuad kebangsaan yang kini semakin mantap dan digeruni.

Tidak mustahil satu hari nanti gandingan kedua-dua individu itu mampu membawa bola sepak Malaysia melangkah lebih jauh, mungkin ke Piala Dunia 2026 atau seterusnya? Siapa tahu.