Musim yang penuh duka, Kelantan FC harus ‘reset’ semula untuk musim depan

66

Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah apa yang boleh dikatakan nasib yang menimpa pasukan Kelantan FC selepas mengalami kekalahan ke-19 dalam saingan Liga Super musim ini menentang Sabah FC semalam.

Selepas 23 perlawanan musim ini, Kelantan sudah mencatatkan 102 bolos, satu rekod baharu yang pastinya tidak mahu diingati oleh para penyokong.


Bukan itu sahaja, ketua jurulatih Kelantan, Angel Alfredo Vera mengatakan bahawa kelab itu kini ibarat ‘pasukan kawan-kawan’, dan beliau hanya menggunakan pemain yang tinggal sahaja.

Di media sosial, penyokong ibarat sudah putus asa dengan pasukan, dan tidak lagi terdaya untuk melihat mereka dibelasah dengan jumlah jaringan yang besar setiap kali perlawanan.

Berdasarkan kedudukan terkini, Kelantan dilihat amat sukar untuk keluar daripada zon penyingkiran berbaki lagi tiga perlawanan.

Apa yang berlaku kepada Kelantan ini harus dijadikan pengajaran kepada kelab-kelab lain bahawa adalah amat penting untuk mempunyai pengurusan yang baik.

Jika tidak, ia boleh memberi kesan kepada keseluruhan kelab daripada pihak atasan hinggalah kepada pemain.

Musim hadapan, nasib Kelantan dalam saingan Liga Malaysia masih belum diketahui kerana masih perlu menunggu keputusan oleh First Instance Body (FIB) mengenai Lesen Kebangsaan musim hadapan.

Apa pun yang berlaku dengan keputusan itu, sama ada Kelantan terus kekal dalam saingan Liga Malaysia atau tidak, pasukan itu perlu melalui proses ‘reset’ secara keseluruhan daripada pihak pengurusan.