Kelantan FC punya tempoh sehingga 30 November untuk langsaikan hutang jika mahu kekal di Liga Super musim depan

178

Nasib pasukan bermasalah Kelantan FC kini seperti ‘telur di hujung tanduk’ apabila mereka kini mempunyai tempoh sehingga hujung bulan November atau kira-kira lapan hari lagi untuk menyelesaikan tunggakan gaji sekiranya mahu kekal beraksi di saingan Liga Super pada musim depan.

Perkara itu dimaklumkan oleh Pengerusi First Instance Body (FIB), Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif dalam satu sidang media FIB berkenenaan keputusan pelesenan kelab Liga Super & kelab AFL (Amateur Football League) M3.


“Berdasarkan rekod Kelantan tidak mempunyai tunggakan gaji pemain dan pegawai pada 30 Jun namun didapati memiliki tunggakan gaji di dalam deklarasi 31 Ogos yang mana FIB telah mengarahkan kelab untuk menyelesaikan bayaran tunggakan atau menyerahkan persetujuan bersama pemain dan pegawai pada 15 November.

Bagaimanapun pihak FIB tidak menerima sebarang bukti bayaran atau persetujuan bersama pemain dan pegawai sebaliknya hanya menerima rayuan lanjutan masa. FIB memberi peluang terakhir kepada mereka sehingga 30 November dan jika gagal Kelantan secara automatic tidak akan mendapat Lesen Kebangsaan bagi musim 2024-2025,”

katanya.

Sheikh Mohd Nasir juga berkata kelab itu turut dikenakan denda RM20,000 atas kesalahan tidak mematuhi tempoh masa FIB.

Beliau pada masa sama turut berkata sekiranya pihak The Red Warrior berjaya menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain dan pegawai, mereka juga perlu menyelesaikan kes pemain di FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa) dan FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia).

“Jika mereka berjaya selesaikan masalah pertama, mereka perlu selesaikan masalah kedua dengan menghantar surat deklarasi yang membuktikan mereka bebas daripada sebarang tunggakan sehingga 30 November mengikut sub-kriteria kewangan F.09 Peraturan Pelesenan Kelab MFL (Malaysian Football League) Edisi 2023 termasuk penyelesaian untuk kes-kes yang mempunyai keputusan FIFA dan FAM sebelum 31 Disember ini.”

Dalam pada itu, selain Kelantan dikenakan denda RM20,000 tiga lagi kelab iaitu Sabah FC, Kelantan United FC dan KL City FC turut dikenakan hukuman denda RM20,000 atas kesalahan melakukan deklarasi yang salah.

Manakala 10 kelab lagi iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC, Perak FC, Terengganu FC, Penang FC, Selangor FC, Sri Pahang FC, PDRM FC, Kuching City FC dan Negeri Sembilan FC berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan.