Stadium MBPJ atau SNBJ, apa ‘rumah’ pilihan Selangor FC sekiranya layak ke AFC?

535

Masih berbaki tiga tahun lagi buat pasukan Selangor FC untuk mendiami ‘rumah’ baharu mereka, Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang dijangkakan siap sepenuhnya pada tahun 2026. 

Pembikinan bertahun buat lokasi yang bakal menjadi stadium tercanggih itu meletakkan pasukan tersebut didalam dilema dalam memilih stadium yang terbaik andai kata mereka layak terpilih untuk bersaing di kejohanan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).


Masa juga semakin suntuk buat mereka oleh sebab berkemungkinan ianya akan diputuskan kelak, membuatkan mereka perlu mula beraksi tahun hadapan.

Pilihan yang tersedia buat pasukan The Red Giants hanyalah di antara Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Buat masa ini, Stadium MBPJ merupakan rumah sementara untuk kelab itu. 

Untuk menggunakan stadium itu sebagai lokasi ‘tuan rumah’ di peringkat AFC, rata-rata penyokong bola sepak tempatan percaya ianya memerlukan pengubahsuaian yang ternyata pelbagai.

Antaranya dengan menggantikan tempat duduk penonton dengan kerusi yang lebih baik dan bernombor, menukar kepada rumput jenis Bermuda atau Cow Grass dan juga menaikkan kadar pencahayaan lampu di dalam stadium. 

Selain itu, trek perlulah ditutup dengan rumput sintetik dan sebaiknya stadium itu dicat semula supaya kelihatan gah dan baharu seperti dahulu. 

Ataupun pihak Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) mahu menyewa SNBJ yang sememangnya mempunyai kriteria stadium antarabangsa berbanding Stadium MBPJ? 

Bukan sahaja SNBJ mampu menampung seramai 87,411 penonton, ia juga memiliki aspek utama untuk stadium yang layak digunakan di peringkat AFC, iaitu dengan kemudahan teknologi VAR, yang tidak tersedia di Stadium MBPJ. 

Namun begitu, melihatkan penyewaan aktif SNBJ perlu diambil kira juga memandangkan ianya seringkali menjadi lokasi terbaik untuk perlawanan bola sepak yang lain dan tidak lupa juga, konsert-konsert dari pelbagai artis dari luar negara.