Jika tahap Liga Super tidak meningkat, sukar buat JDT bersaing di ACL

61

Kempen Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan AFC Champions League (ACL) pada musim ini tamat lebih awal selepas tewas kepada jaguh Jepun, Kawasaki Frontale 5-0 semalam.

Walaupun berbaki lagi satu perlawanan, JDT sudah pasti tidak dapat mara kerana Ulsan Hyundai mempunyai kelebihan jaringan ke atas JDT hasil dua pertemuan kedua-dua pasukan itu.


Setelah berjaya melangkah ke peringkat 16 terakhir buat kali pertama musim lalu, ini pastinya satu kekecewaan buat pasukan itu kerana tidak berjaya mengulangi pencapaian tersebut.

Namun, JDT telah melakukan apa yang termampu dan jelas kualiti yang dimiliki jauh berbeza dengan kelab dari Jepun itu.

Saban tahun, JDT sentiasa meningkatkan tahap pasukan itu untu terus bersaing menjadi salah satu pasukan terbaik di Asia.

Buktinya, mereka kini sudah semakin sukar untuk disaingi oleh mana-mana kelab Liga Malaysia, membolot semua piala domestik, dan juga berada di satu kelas tersendiri berbanding pasukan-pasukan di Asia Tenggara.

Namun, untuk sebuah kelab menampilkan peningkatan, mereka juga harus bersaing dan berlawan dengan pasukan-pasukan yang hebat.

Sekiranya saingan yang ada tidak begitu hebat, sukarlah untuk sesebuah kelab itu melakukan peningkatan yang maksima.

Untuk JDT, mereka sukar untuk meningkatkan lagi tahap permainan mereka kerana saingan di Liga Malaysia tidak begitu mencabar untuk mereka.

Berbeza dengan pasukan Jepun atau Korea Selatan yang mempunyai saingan yang sengit dalam liga, jadi tidak hairanlah kedua-dua negara itu merupakan pemenang terbanyak dan kedua terbanyak dalam sejarah ACL.

Jika tahap Liga Malaysia masih lagi sama dan kelab-kelab yang ada tidak mampu memberikan saingan kepada JDT, sukar nampaknya untuk melihat wakil Malaysia pergi lebih jauh dalam saingan ACL.