Kecewa dengan keadaan kelab, penyokong Kelantan FC sudah beralih sokongan kepada kelab lain?

94

Pada perlawanan Piala AFC antara Terengganu FC dan Central Coast Mariners semalam, kehadiran beberapa penyokong Terengganu di Stadium Central Coast berjaya memberi semangat kepada pemain Terengganu sehingga berjaya mengikat juara A-League itu.

Di sebalik kehadiran sekumpulan kecil penyokong itu, kibaran bendera Kelantan mencuri tumpuan apabila kelihatan di siaran langsung di televisyen.


Kedua-dua pasukan Kelantan dan Terengganu merupakan musuh setempat dalam saingan Liga Malaysia, jadi untuk melihat penyokong daripada Kelantan memberikan sokongan kepada pasukan Terengganu agak janggal.

Tetapi mungkin penyokong tersebut memberikan sokongan atas semangat wakil Malaysia dan mahukan wakil Malaysia, tidak kira mana-mana pasukan, berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Ketika ini, pasukan Kelantan sedang dalam keadaan terumbang-ambing dengan penyertaannya dalam saingan Liga Super musim depan masih belum pasti kerana tidak melepasi syarat Lesen Kebangsaan.

Kehadiran penyokong di Stadium Sultan Muhammad IV juga dilihat semakin menurun kerana penyokong sudah muak dengan drama yang berlaku kepada pasukan itu.

Disebabkan musim yang agak suram untuk bola sepak Kelantan ini, sokongan penyokong mungkin sudah beralih ke pasukan lain seperti yang berlaku pada perlawanan Terengganu menentang Central Coast Mariners semalam.

Pada perlawanan antara JDT menentang Kawasaki Frontale di Stadium Todoroki kelmarin juga, terdapat beberapa penyokong yang dirakam mengibarkan bendera Kelantan.

Mungkin mereka ini merupakan penyokong yang kecewa dengan apa yang berlaku terhadap bola sepak Kelantan dan mahu mengubat kekecewaan itu dengan menyokong kelab lain yang membawa nama Malaysia.