Satu persatu pemain angkat kaki, siapa yang nak main dengan Kelantan FC musim depan?

84

Melihat kepada kemelut yang berlaku terhadap pasukan yang seolah-olah tiada jalan penghujung, seorang demi seorang pemain Kelantan FC kini mula ‘angkat kaki’ meninggalkan pasukan Pantai Timur itu.

Terbaru, pemain muda berbakat iaitu Muhaimin Izuddin mengumumkan bahawa beliau sudah meninggalkan pasukan itu selepas dua tahun menabur bakti.


Beliau mengikut jejak Ikhwan Yazek, Natanael Siringoringo dan lain-lain lagi yang sebelum ini lebih awal meninggalkan kelab atas sebab masalah yang dihadapi kelab itu.

Sejak jendela pertengahan musim liga, Kelantan beraksi dalam kebanyakan perlawanan menggunakan pemain-pemain muda, selepas ramai pemain import dan berpengalaman membuat keputusan untuk meninggalkan pasukan.

Disebabkan itu, Kelantan mula menjadi ‘lubuk’ tiga mata serta gol untuk pasukan-pasukan Liga Super, dengan jumlah bolos kebiasaannya lebih daripada lima gol.

Namun, ia tidak mengejutkan kerana rata-rata pemain yang tinggal dalam pasukan itu kini merupakan pemain muda yang tiada pengalaman beraksi di pentas tertinggi.

Ketua jurulatih pasukan, Alfredo Vera sebelum ini juga pernah mendedahkan bahawa beliau terpaksa membawa masuk pemain muda dan penuntut universiti untuk membentuk pasukan bagi mengharungi baki saingan musim ini.

Nasib Kelantan dalam saingan Liga Super musim depan masih lagi samar-samar kerana pasukan itu belum menerima Lesen Kebangsaan berikutan isu tunggakan gaji.

Namun mereka telah diberikan peluang untuk melengkapkan dokumen berkenaan selewat-lewatnya 30 November dan pihak Malaysian Football League (MFL) mengesahkan telah menerima dokumen tersebut, namun harus melalui proses semakan.

Sekiranya Kelantan berjaya mendapatkan lesen dan beraksi dalam Liga Super, adakah mereka akan mempunyai skuad yang cukup kuat untuk bersaing, atau adakah mereka hanya akan terus dibarisi oleh pemain-pemain muda dan menjadi mangsa belasahan dalam liga?

Pastinya ramai pemain, terutama yang berpengalaman dan import,  yang akan berfikir panjang untuk menyertai pasukan itu berdasarkan reputasinya.

Jadi, tidak mustahil mereka akan menghadapi kesukaran untuk mengumpulkan pemain-pemain yang mempunyai standard Liga Super, dan terpaksa terus bergantung kepada pemain yang tiada pengalaman.

Please rotate your device
Continue in browser
To install tap Add to Home Screen
Add to Home Screen