Ong Kim Swee mahu pemain segera bangkit menjelang perlawanan penting menentang Kedah nanti

55

Ketua jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee nyata tidak berpuas hati dengan aksi pasukannya selepas mereka tewas 3-1 kepada PSM Makassar dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan Piala AFC malam tadi.

Menurut Kim Swee, pasukan mencipta banyak peluang tetapi ketumpulan menyebabkan mereka gagal untuk menjaringkan gol.


“Satu keputusan yang tidak bagus untuk pasukan Sabah FC, sudah tentu peluang-peluang yang kita cipta tidak dapat disempurnakan dan kita tahu PSM Makassar datang dengan taktikal bertahan dan bermain secara counter attack.

Mereka berjaya melakukan di mana kita tidak dapat melawan asakan terutama dari segi larian-larian dibelakang oleh pemain lawan,”

katanya.

Tambahnya lagi, selain gagal menyempurnakan peluang yang ada, kelekaan pemain juga menyebabkan mereka dihukum dengan dua jaringan awal pada separuh masa pertama.

“Dah tentu satu perkara yang tidak memuaskan bagi saya pada separuh masa pertama di mana kita leka dan apabila kita leka, kita dihukum.

Pada separuh masa kedua kita cuba untuk dapatkan gol awal tetapi gagal dan hanya dapat gol pada minit ke-75′.

Kita cuba lagi untuk mendapatkan gol penyamaan tapi berlakunya lagi counter attack di mana mereka berjaya mendapatkan sepakan penalti.”

Biarpun tewas, skuad The Rhinos berjaya mara ke peringkat separuh akhir zon yang akan berlangsung pada Februari 2024.

Dalam pada itu, Kim Swee mahu pemain-pemainnya belajar dari kesilapan pada perlawanan malam tadi sebelum menghadapi perlawanan terakhir Liga Super menentang Kedah Darul Aman FC pada 17 Disember.

“Kita tahu pasukan Kedah mungkin akan melakukan perkara sama dan di sini kita harus belajar daripada kesilapan dan bermain di tempat sendiri terutama pada perlawanan liga terakhir.

Ia amat penting di mana ia akan menentukan samada kita berjaya mendapatkan tempat ketiga seperti yang dicapai musim yang lalu.”