Kibarkan Jalur Gemilang ke seantero dunia, ramai lagi atlet wanita juga boleh!

55

Apabila kita sebut sahaja mengenai arena sukan, ianya sudah pasti menjadi suatu perkara yang tidak asing dan amat berkaitan rapat dengan para lelaki.

Pelbagai sukan yang secara amnya telah dipelopori atlet lelaki seperti sukan bola sepak, angkat berat, bina badan, snooker serta meninju, selain melihatkan ilmu tentang sukan yang banyak mereka ketahui.


Seakan sukar buat kita melihat wakil wanita tempatan dalam sukan sebegini, sedangkan pastinya mereka juga mampu mempelajari dan beraksi dengan cemerlang dalam sesuatu jenis sukan dan membanggakan negara di mata dunia.

Sebagai contoh, kewujudan Liga Wanita Nasional (LWN) secara tidak langsung merupakan salah satu inisiatif dalam memartabatkan kalangan wanita dalam sukan negara.

Bertujuan untuk mengubah landskap bola sepak wanita di Malaysia, LWN juga telah mendapat sokongan penuh daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh untuk membangunkan cabang baru liga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kalangan wanita.

Hanya enam pasukan yang berjaya disenaraikan setakat ini iaitu Malaysian University FC, Selangor FC, LMS Tigress FC, Sekolah Sukan Malaysia Pahang (SSMP), Sabah FC dan Kelana United FC.

Awal November lalu telah menyaksikan Sabah FC sebagai juara sulung mereka.

Meskipun bermain bola sepak bukanlah sesuatu yang menjadi kebiasaan dari kecil buat kebanyakan wanita, namun siapa kata mereka tidak mampu memahirkan diri dalam sukan itu dan menjadi bintang bola sepak juga?

Netball Super League (NSL) yang memperlihatkan atlet wanita kita bersaing penuh bersemangat menentang pihak lawan adalah suatu bukti bahawa kaum Hawa juga amat kompetitif, cekal dan berani menyahut cabaran.

Sukan itu juga telah melahirkan ramai bintang yang kini diidolakan warga belia seperti An Najwa Azizan, Pow Mei Foong, dan Fariha Razak.

Tidak dapat disangkal lagi bahawa kita juga memiliki atlet wanita yang cergas, bersungguh-sungguh dan tidak kurang hebat dan kentalnya dalam mempersiapkan diri secara fizikal dan mental setanding atlet lelaki.

Beralih pula kepada sukan badminton.

Walaupun kemajuan atlet badminton kita di kategori yang lain seperti perseorangan lelaki, beregu lelaki, beregu wanita dan beregu campuran masih kekal hebat meneruskan legasi atlet terdahulu dalam mencipta nama di persada antarabangsa, bagaimana pula nasib atlet perseorangan wanita negara kita pabila bertanding di rata-rata kejohanan badminton dunia?

Perasan atau tidak, kini jarang sekali dapat kita lihat kategori perseorangan wanita dari pasukan badminton kebangsaan yang berjaya melayakkan diri ke peringkat suku akhir, separuh akhir malahan ke perlawanan akhir.

Dipercayai pihak Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sudah pastinya mempunyai strategi tersendiri dan turut merancang pelan jangka masa panjang dalam menambah lagi wakil serta pelapis perseorangan wanita negara.

Pada 11 Mac yang lalu juga, suatu inisiatif yang dinamakan Kod Sukan Selamat telah diwujudkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh demi melindungi aspek keselamatan terhadap gangguan seksual, buli dan keganasan dalam kalangan lelaki dan wanita dalam arena sukan.

Ianya pasti akan menbantu menanamkan keyakinan terutamanya atlet dan jurulatih wanita untuk beraksi mengikut standard tertinggi mereka dalam sukan yang diceburi.

Diharapkan usaha seperti ini mampu mengembalikan semangat juang para atlet wanita untuk terus mengukir nama dan mengibar jalur gemilang ke seantero dunia.