Liga Super musim 2023 sudah tamat! Skrip sama musim 2024 atau akan ada kejutan?

411

Saingan Liga Super sudah pun menutup tirainya untuk musim 2023 dengan pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal mendominasi apabila menjulang kejuaraan buat kali ke-10 berturut-turut.

Kejayaan JDT musim ini bukan sesuatu yang mengejutkan kerana sejak dari awal musim lagi mereka sudah memperlihatkan dominasi dan mereka mengesahkan kejuaraan liga lebih awal.


Jurang besar antara JDT dan pasukan-pasukan lain yang bersaing dalam liga menyebabkan ramai semakin hilang minat dan bosan kerana skrip sama berulang tahun demi tahun, berbeza dengan saingan Liga M3 musim ini yang lebih dramatik apabila juara liga ditentukan pada perlawanan akhir membabitkan tiga pasukan.

Namun disebalik itu, musim ini merupakan musim yang cukup gemilang buat Selangor FC apabila mereka akhirnya berjaya menempah slot ke pentas Asia apabila menamatkan saingan liga di kedudukan kedua sekaligus akan bermain di AFC Champions League 2 (ACL 2).

Tekanan daripada pelbagai pihak tidak sedikit pun menjejaskan fokus pasukan The Red Giants dan sentuhan duo Tan Cheng Hoe dan Ramon Marcote nyata menjadi nadi utama dalam kejayaan pasukan itu musim ini.

Untuk peminat Kedah Darul Aman FC, biarpun ada yang kecewa kerana tidak berjaya menempah slot ke ACL 2 musim hadapan dek kekalahan tipis kepada Selangor, namun peminat Hijau Kuning tetap bangga dengan pencapaian pasukan itu pada musim ini.

Sang Kenari melakukan rombakan besar-besaran untuk musim ini termasuk membawa masuk pengendali baru iaitu Nafuzi Zain yang diberikan tanggungjawab untuk ‘projek’ pasukan.

Walaupun tidak menjadi pasukan pilihan musim ini dek perubahan yang dilakukan termasuk bajet yang lebih kecil, namun Nafuzi telah memperlihatkan sentuhan magisnya apabila berjaya bawa Kedah menjadi satu-satunya pasukan di Liga Super yang mengikat JDT dan juga satu-satunya pasukan yang berjaya jaringkan lebih satu gol.

Jika sebelum ini PDRM FC dilabel sebagai pasukan pelengkap jadual, namun musim ini skuad The Cops diberi gelaran ‘Giants Killer’ apabila mereka berjaya tumbangkan pasukan besar seperti Selangor dan Kedah.

Ketika JDT kandas dalam peringkat kumpulan ACL, Sabah FC kini menjadi satu-satunya wakil dari Malaysia yang berjaya melayakkan diri ke peringkat kalah mati di pentas Asia apabila layak ke separuh akhir zon Piala AFC selepas menjadi juara kumpulan.

Liga Super tidak lengkap jika tiada masalah kerana musim ini boleh dikatakan musim yang agak parah buat banyak pasukan yang mengalami masalah tunggakan gaji dengan Kelantan FC paling teruk terjejas.

Untuk musim hadapan, sebanyak 10 kelab iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Kedah Darul Aman FC, Perak FC, Terengganu FC, Penang FC, Selangor FC, Sri Pahang FC, PDRM FC, Kuching City FC dan Negeri Sembilan FC berjaya mendapatkan Lesen Kebangsaan.

Sabah FC, Kelantan United FC dan KL City FC juga turut mendapat Lesen Kebangsaan tetapi dikenakan hukuman denda RM20,000 atas kesalahan melakukan deklarasi yang salah.

Manakala status Lesen Kebangsaan pasukan Kelantan masih lagi belum dapat disahkan samada mereka kekal bermain di Liga Super atau tidak untuk musim hadapan kerana mereka perlu menyelesaikan segala masalah yang dihadapi terlebih dahulu.

Sekiranya gagal, pengelola liga iaitu Malaysian Football League (MFL) tidak akan menambah pasukan bagi mengisi slot yang ditinggalkan oleh Kelantan sebaliknya Liga Super musim hadapan akan berjalan dengan hanya 13 pasukan sahaja.

Suka atau tidak, dijangka musim hadapan lebih banyak pasukan akan terus bergelut sekiranya tidak berbelanja dengan bijak apabila FAM (Persatuan Bola Sepak Malaysia) dan MFL telah mewajibkan setiap pasukan di Liga Super perlu mempunyai pasukan Piala MFL (B-23), Piala Presiden (B-20) dan Piala Belia (B-18).

Tujuannya adalah untuk memperkukuhkan lagi program pembangunan supaya negara dapat melahirkan lebih ramai pemain tempatan berkualiti.

Musim ini MFL mewajibkan setiap pasukan menghantar pasukan Piala MFL dan pasukan Piala Presiden atau Piala Belia.

Jadi apa yang akan berlaku pada musim 2024? Adakah skrip sama akan berulang atau akan ada kejutan menarik menanti? Sama-sama kita tunggu.