Dari Belgium, Iceland hingga ke Jepun, Luqman Hakim kumpul minit permainan sebelum kembali beraksi bersama kelab tempatan?
Didalam tempoh lima tahun kontrak bersama kelab KV Kortrijk sejak 2020, penyerang muda, Luqman Hakim Shamsudin nampaknya seakan masih mencari rentak terbaik di atas padang.
Tular semalam mengenai beliau yang dikhabarkan akan berkelana ke Jepun demi babak baharu kariernya di liga divisyen 3 (J3 League) negara matahari terbit itu.
Pemain berusia 21 tahun itu akan dipinjamkan ke Yokohama SCC FC di liga tersebut selama setahun bermula hujung bulan ini.
Sebelum ini, Luqie telah dipinjamkan ke kelab Liga Iceland, Njardvik selama enam bulan bermula Februari hingga September tahun lalu dan berjaya memberi impak positif kepada kelab itu.
Difahamkan beliau turut mendapat tawaran untuk ke liga divisyen 2 Jepun namun pemain yang berasal dari Kota Bahru, Kelantan itu lebih memilih untuk ke liga yang ketiga.
Menurutnya, ianya demi mengumpul lebih banyak minit permainan diatas padang.
Adakah mungkin Luqie belum cukup puas beraksi di KV Kortrijk dan Njardvik FC, membuatkan beliau bersetuju untuk ke liga yang lebih rendah?
Jarang sekali juga dengar mengenai pencapaian konsisten Luqie bersama kelab utama beliau dan juga sepanjang dipinjamkan ke Njardvik FC.
Beberapa bulan lalu, beliau sempat terpalit ura-ura yang mengatakan keminatan beliau untuk ke Selangor FC.
Ianya disebabkan suatu video olahraga beliau di sebuah gimnasium yang tular hanya kerana menyarung jersi The Red Giants.
Sesetengah penyokong tegar bola sepak negara berpendapat bahawa ianya suatu kemungkinan besar yang masuk akal dan seakan ‘merestui’ andai ianya benar.
Namun, mendengarkan khabar beliau kini, barangkali bintang Harimau Malaya B-23 ini lebih selesa mengembangkan bakatnya di kelab-kelab di luar negara.
Jika diperhatikan, logik sekiranya beliau ingin menjadikannya sebagai persediaan rapi sebelum betul-betul beraksi bersama kelab tempatan mahupun skuad senior kebangsaan.
Kontraknya bersama kelab KV Kortrijk akan berakhir pada bulan Jun 2025, bererti tinggal hanya enam bulan buatnya kembali ke sana selepas tempoh peminjamannya tamat Disember kelak.
Empat tahun lalu, Luqman sempat beraksi bersama skuad Selangor II hanya selama lima bulan sebelum terbang ke Belgium untuk lima musim.