Jaguh badminton bukan selebriti, tiba masa untuk fokus tanpa ‘toleh kiri kanan’

74

Mungkin kini sudah tiba masanya untuk atlet badminton negara memberi sepenuh tumpuan buat kejohanan seterusnya, dari terus dibuai dengan ‘populariti’ dikalangan masyarakat.

Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia yang menutupi tirai kelmarin sudah cukup menjadi bukti kukuh bahawa jaguh badminton negara masih belum bersedia untuk mengegarkan pencabar hebat yang lain.


Persoalannya, bilakah semua ini akan menemui tanda noktahnya?

Ada sesetengah diantara mereka berpendapat, atlet sukan badminton negara kini terlalu kerap menerima bermacam jenis jemputan promosi serta menjadi duta jenama-jenama terkenal antarabangsa, selain mengumpul jumlah pengikut yang ramai di laman sosial.

Adakah segala kemashyuran itu secara tidak langsung telah mengaburi kerjaya mereka?

Tidak salah juga bagi mereka untuk terlibat sebegitu namun ianya perlulah seimbang dengan niat asal mereka dan apa yang ditampilkan buat negara tercinta.

Barangkali semua itu telah mengganggu tumpuan atlet yang sememangnya sudah memiliki jadual latihan seharian serta kejohanan yang cukup padat.

2024 juga membariskan pelbagai kejohanan hebat iaitu Badminton Asia Team Championship (BATC) bulan hadapan, Piala Thomas dan Uber pada April, dan sukan Olimpik Paris bermula Julai ini selain banyak lagi perlawanan yang dianjurkan di luar negara setiap minggu.

Tumpuan mereka tidak seharusnya diganggu dengan bermacam jenis gosip dan ia perlulah terarah hanya pada sukan itu.

Mungkin antara jalan terbaik waktu ini adalah dengan mewujudkan kem bina semangat dan psikologi buat para pemain badminton demi meningkatkan motivasi mereka.

Ianya selain dari mengalakkan kunjungan beberapa lagenda negara untuk hadir demi menurunkan ilmu serta menyuntik semangat kepada pemain.

Fokus yang penuh sememangnya satu-satunya perkara yang diperlukan pemain ketika ini.

Jauh dari sebarang gangguan yang boleh mengelirukan dan meletakkan diri mereka didalam apa jenis tekanan.

Antara bukti dapat dilihat adalah sewaktu zaman kegemilangan anak-anak Sidek yang telah dilatih dengan cukup berdisiplin oleh ayahanda mereka, Allahyarham Sidek Abdullah Kamar sejak usia yang sangat muda.

Begitu juga di awal 2000 dimana lahirnya jaguh-jaguh badminton yang cemerlang seperti Datuk Wira Lee Chong Wei, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying yang tidak kenal erti ‘puas’ dalam menghadiahkan pingat buat negara.

Berbeza dengan zaman teknologi kini, rata-rata peminat mengidolakan atlet bagaikan seorang selebriti yang sekaligus mengalihkan tumpuan dalam mengejar tujuan utama mereka – mengharumkan nama negara.

Fokus perlu dipertingkatkan sehingga menjadi full throttle melihatkan banyak lagi kejohanan berprestij menanti sepanjang tahun ini.