Jordan lebih kuat dari jangkaan kami – Kim Pan-gon

166

Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon terpaksa akur apabila pasukannya tewas 4-0 di tangan Jordan dalam perlawanan pertama peringkat kumpulan Piala Asia 2023 yang berlangsung di Stadium Al Janoub malam tadi.

Menurut Pan-gon, beliau menyedari dengan kekuatan pasukan lawan tetapi kekuatan mereka melebihi jangkaan mereka.


“Kami mahu bermain secara menyerang pada malam ini tapi saya rasa Jordan lebih kuat dari jangkaan kami.

Separuh masa pertama kami ‘suffer’ kerana kita beri mereka banyak sangat ruang dan perkara ini yang kita sering lakukan dalam perlawanan yang kita hadapi sebelum ini.

Sukar untuk saya katakan mengenai aksi kerana kami perlu melihat semula tayangan video untuk melihat kesilapan dan cuba memperbaiki kelemahan,”

katanya.

Biarpun terpaksa menerima hakikat yang perit, Pan-gon menganggap perlawanan malam tadi sebagai satu pengajaran yang cukup berguna untuk mereka apabila dapat bertemu dengan pasukan yang mempunyai ramai pemain berkualiti.

Dalam pada itu, pengendali dari Korea Selatan itu juga memberitahu bahawa beliau tidak membuat sebarang perubahan besar dalam kesebelasan utama pada malam tadi.

“Kami tidak buat pertukaran taktikal tapi cuma buat pertukaran di bahagian pertahanan. Pemain juga tidak jangka mereka akan bolos tiga gol pada separuh masa pertama.

Namun pada separuh masa kedua kami bermain dengan lebih baik dan akan cuba bermain seperti itu pada perlawanan akan datang.”

Pan-gon juga optimis bahawa pasukannya masih lagi mempunyai peluang namun perlu beri lebih tumpuan pada perlawanan kedua menentang Bahrain 20 Januari ini.

Sementara itu, skuad Harimau Malaya kini dalam misi wajib menang menentang Bahrain dan cuba untuk mendapatkan sekurang-kurangnya satu mata menentang pasukan pilihan Korea Selatan jika mahu mara ke pusingan 16.