Kekalkan dulu ‘tempat’ di setiap Piala Asia, sebelum cuba sasar pusingan 16 terbaik

170

Perit untuk rakyat Malaysia khususnya Ekor Harimau Malaya dalam menerima hakikat Malaysia langsung disingkirkan dari kedudukan dua terbaik peringkat kumpulan E.

Lebih-lebih lagi pabila mengenangkan detik satu jaringan di masa tambahan yang berjaya membolosi gawang gol negara ketika perlawanan kedua bersama Bahrain Sabtu lalu.


Mungkin ini kenyataan yang harus semua terima, untuk memahami taraf yang mampu skuad kebangsaan kecapi dikala ini.

Ianya sudah cukup hebat jika dibandingkan dengan beberapa dekad lalu, dimana pasukan negara tidak tersenarai sama sekali ke pentas Asia.

Namun, kini doa ramai penyokong sudahpun termakbul dan terlaksana.

Demi mendapatkan satu ‘slot’ ke Piala Asia ini sahaja bukanlah tugas mudah, pelbagai halangan telah pasukan negara harungi bersama sebelum ini.

Adalah lebih baik sekiranya skuad Harimau Malaya terus mengekalkan ‘tempat’ ke Piala Asia buat musim-musim mendatang, dari terus meletakkan dan menyasarkan target yang tinggi menggunung.

Tidak salah untuk memberi harapan dan capaian hingga ke pusingan 16 terbaik, namun ia haruslah kekal realistik.

Prestasi persembahan Malaysia di Piala Asia kali ini jelas membuktikan kedudukan pencapaian bola sepak tanah air dimata Asia.

Usahlah terus menuding jari memikirkan salah siapa semua kekalahan ini, sebaliknya ‘benteng pertahanan’ bola sepak negara yang harus dikukuhkan terlebih dahulu.

Pelbagai aspek didalam pasukan negara masih perlu dimajukan seperti corak dan teknik permainan, susunan formasi dan posisi yang terbaik buat para pemain, selain pemilihan pemain yang bermain dengan lebih ‘jiwa’ demi negara tercinta.

Harapan pastinya tak akan pernah padam dalam hati penyokong tegar bola sepak tanah air, semoga pasukan kebangsaan terus cekal dan mampu bersaing setanding negara-negara Asia yang lain.