FAM patut wujudkan Liga Super Wanita

235

Siapa kata bola sepak wanita tak popular? Liga Super Wanita FAS telah membuktikan bahawa semakin ramai orang mula memberi sokongan dan menonton perlawanan bola sepak wanita.

Semalam telah berlangsungnya perlawanan akhir liga yang dianjurkan oleh Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang mana pasukan Negeri Sembilan (NSW FC) berjaya muncul juara selepas menumpaskan The Footsouls 1-0.


Kejohanan sulung itu disertai oleh 10 pasukan yang terdiri dari negeri, kelab sosial dan kelab amatur yang bersaing selama dua bulan.

LSW telah membuktikan bola sepak wanita ketika ini semakin berkembang dengan pesat, oleh itu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sepatutnya menjadi nadi utama dalam memperluaskan lagi pembangunan akar-umbi bola sepak wanita.

Dana yang sebelum ini banyak disalurkan kepada bola sepak lelaki patut dikurangkan atau FAM perlu mencari dana tambahan untuk memastikan tiada layanan double standard terhadap bola sepak wanita.

Setiap negeri kini boleh dikatakan mempunyai banyak pasukan bola sepak wanita yang mana ketika ini hanya satu kejohanan bola sepak sahaja dianjurkan iaitu Piala Tun Sharifah Rodziah yang dikendalikan oleh FAM.

Dengan pasukan bola sepak wanita semakin bertambah di seluruh negara, jadi FAM sepatutnya sudah mula merancang untuk mengembangkan lagi liga bola sepak wanita ini.

Ia akan memberi keuntungan kepada FAM juga kerana mereka akan mempunyai pool of players berkualiti untuk menyarung jersi Harimau Malaya untuk bersaing di peringkat antarabangsa.

Jadi diharap FAM akan memberi tumpuan sama rata kepada bola sepak wanita supaya mereka juga mendapat peluang sama rata sekaligus dapat memeriahkan lagi Liga Malaysia.