Kalau kena pergi mahkamah, kita pergi sebab saya pun dah biasa pergi mahkamah – Khalid Samad

107

Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), YB Khalid Abdul Samad memberitahu beliau tiada masalah untuk diheret ke mahkamah dek masalah tunggakan gaji yang berlaku pada pasukan KL City FC.

Menurut Khalid, beliau tidak gentar kerana pihaknya akan teruskan perjuangan untuk masa depan kelab itu.


“Soal pergi mahkamah, kalau kita kena pergi, kita pergi sebab kita tetap akan perjuangkan masa depan pasukan bola sepak ini.

Saya pun dah biasa pergi mahkamah, bukan kita tak takut atau risau tapi ia proses yang akan memakan masa, sambil itu usaha untuk selesaikan masalah itu kita terus usahakan,”

katanya.

Beliau berkata demikian selepas ditanya samada beliau bimbang atau risau selepas bekas pemilik kelab Kuantan FA dan Marcerra United dihumban ke penjara selepas gagal melunaskan baki tunggakan gaji kepada bekas pemain pasukan itu.

Dalam pada itu, Khalid turut menyuarakan keyakinan mereka dapat menyelesaikan tunggakan gaji yang dianggarkan sekitar RM2 juta.

“Memang saya risau untuk cari duit nak bayar tunggakan gaji, tapi saya yakin bahawa kita akan perolehi peruntukan 2024 daripada DBKL dalam masa terdekat.

Jadi peruntukan itu akan mencukupi untuk kita selesaikan komitmen 2023.”

Sementara itu, beliau berkata KL tidak mempunyai kerajaan negeri seperti negeri-negeri lain untuk mendapatkan peruntukan besar, sebaliknya hanya bergantung kepada DBKL sahaja yang memberikan RM5 juta setiap tahun.

Oleh itu beliau menyeru agar lebih banyak syarikat-syarikat besar yang berpengkalan di KL dapat menaja pasukan.

“Selama ini kita dapat RM5 juta daripada DBKL untuk setahun dan kita ‘survive’ dengan penaja seperti UBB yang sentiasa konsisten menyalurkan RM1 juta atau RM2 juta untuk sokong kita.

Jadi saya hara pada syarikat-syarikat besar yang berpengkalan di KL dapat menaja pasukan.”