Selangor FC sahkan perkembangan positif Hakim Hassan

520

Pengurusan Selangor FC telah mengesahkan bahawa tiada kecederaan serius yang dialami pemain sayap mereka, Nor Hakim Hassan yang dikhabarkan tidak sedarkan diri setelah insiden bertembung dengan penjaga gol Negeri Sembilan FC.

Aksi persahabatan pra-musim antara Selangor FC dan Negeri Sembilan FC yang berlangsung secara tertutup di Stadium Tunku Abdul Rahman, Paroi melalui detik cemas selepas Nor Hakim mengalami gegaran otak atau ‘concussion’ kerana berlanggar dengan penjaga gol Negeri Sembilan, Ahmad Syihan pada minit ke-24 perlawanan.


Concussion adalah kecederaan otak trauma ringan. Gegaran otak terjadi akibat oleh gegaran di kepala atau hentakan yang cukup kuat sehingga menyebabkan otak melanggar bagian dalam tulang tengkorak. Ia boleh menyebabkan mangsa mengalami keadaan yang tidak sedarkan diri dan biasa terjadi dalam sukan lasak seperti ragbi, bolasepak dan tinju.

Walau bagaimanapun, pemain berusia 31 tahun itu dibawa keluar dengan menggunakan ‘cervical collar’ bagi mengurangkan risiko pergerakan di bahagian kepala dan leher. Hakim Hassan kini melalui proses pemulihan dan protokol kecederaan. Diharapkan Hakim lekas pulih dari kecederaan beliau.

Perlawanan tersebut diteruskan dan berakhir dengan kemenangan 2-0 oleh Selangor FC melalui gol dari pemain import, Herlison Caion pada minit ke-10 dan Hyuri pada minit ke-45. Ia dilihat sebagai satu perkembangan positif bagi skuad Gergasi Merah itu menyiapkan diri untuk musim baru ini setelah hampir seminggu ‘berkampung’ di Pahang.