Tak mudah untuk saya ketuai pasukan seperti Brendan Gan – Safuwan Baharudin

21

Ketua pasukan Selangor FC yang baharu, Safuwan Baharudin mengakui bakal berdepan tugas sukar untuk memimpin pasukan untuk mengharungi saingan Liga Malaysia 2024/25.

Mengambil alih tugas daripada Brendan Gan, Safuwan mengakui bukan mudah untuk dirinya memimpin rakan sepasukan apabila di atas padang nanti seperti yang pernah dilakukan oleh Brendan.


“Saya sangat bersyukur kerana dapat terus bersama Selangor untuk musim kelima saya dan berharap dengan dengan pengalaman bermain bersama dua kapten terdahulu iaitu Taylor Regan dan Brendan Gan yang mana saya banyak belajar daripada kedua-dua pemain itu.

Pada masa sama saya sedar sukar untuk saya memimpin pasukan seperti yang pernah dilakukan oleh Brendan Gan tahun lalu.

Apa-apa pun ia bukan mengenai saya seorang sahaja tetapi ia adalah seluruh pasukan Selangor, jadi saya harap dapat sokongan penuh daripada pihak pengurusan dan rakan sepasukan,”

katanya.

Terdahulu, pemain berasal dari Singapura itu telah dilantik sebagai ketua pasukan Gergasi Merah Kuning untuk musim ini selepas Brendan tidak lagi bersama pasukan itu.

Safuwan akan mengetuai pasukan untuk kejohanan Selangor Kusel Asia Challenge 2024 yang akan berlangsung hari ini di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menentang DPMM FC.

Dua lagi pasukan yang turut bersaing pada kejohanan kali ini adalah Balestier Khalsa FC dan Young Elephants FC.