Zaquan Adha mahu pastikan Negeri Sembilan FC kekal di Liga Super musim ini

218

Kapten pasukan Negeri Sembilan FC (NSFC), Zaquan Adha tidak meletakkan sasaran tinggi untuk pasukannya musim ini sebaliknya sasar mahu terus kekal dalam saingan Liga Super untuk musim hadapan.

“Kita tak ada sasaran untuk musim ini tetapi kita akan cuba yang terbaik, itu sahaja, mungkin top 5 sebab kita baru dalam Liga Super dan saya rasa paling penting kita tidak berada pada keududukan tercorot musim ini,”

katanya kepada Harimau Malaya.

Zaquan berkata dirinya dan rakan sepasukan sudah pun bersedia untuk memberi saingan kepada pasukan-pasukan lain yang beraksi di Liga Super musim ini.


Walaupun hadir sebagai pendatang baru, namun beliau yakin dengan kemampuan pasukan dan tidak mustahil untuk mereka kecapi kejayaan.

Dalam pada itu, pemain berusia 34 tahun itu turut menyuarakan keinginannya untuk kembali menyarung jersi Harimau Malaya sekira khidmatnya diperlukan.

“Saya tidak akan menolak sekiranya dipanggil menyertai skuad kebangsaan. Usia tolak ketepi kerana bagi saya kemahuan nak main dengan Malaysia itu lebih penting.

“Jika saya mempamerkan prestasi cemerlang dalam saingan Liga Super, saya pasti bersedia untuk bermain untuk negara jika dipanggil dan akan berikan persembahan terbaik.”

Zaquan mula menyarung jersi skuad kebangsaan senior pada tahun 2008 sehingga 2019 dan sepanjang lebih sedekad bersama Harimau Malaya beliau membuat 49 penampilan dan menjaringkan 12 gol.